TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pemimpin negara seru perkukuh semangat kebersamaan sempena Hari Wilayah Persekutuan 2026

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 1 Feb – Beberapa pemimpin negara menggesa agar semangat kebersamaan terus diperkukuh bagi memastikan Wilayah Persekutuan kekal sebagai wilayah yang selamat, maju dan sejahtera sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bukan sahaja berfungsi sebagai pusat pentadbiran serta nadi ekonomi negara, malah mencerminkan kematangan sesebuah wilayah yang berkembang hasil usaha bersama seluruh rakyat.

Menurutnya, tema ‘Wilayah Persekutuan Kita’ yang terus diangkat tahun ini membawa mesej bahawa wilayah berkenaan adalah milik bersama dan perlu dipelihara serta diperkasakan demi kesejahteraan semua.

“Wilayah ini perlu terus dibangunkan agar kekal menjadi ruang yang selamat, maju dan sejahtera untuk didiami,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid berkata, pencapaian pembangunan Wilayah Persekutuan hari ini adalah hasil komitmen berterusan pelbagai pihak termasuk penjawat awam, komuniti setempat, sektor swasta serta seluruh warga yang menyumbang kepada kemajuan wilayah.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar semangat kebersamaan dan rasa tanggungjawab dapat terus diperkukuh supaya Wilayah Persekutuan kekal sebagai lambang kemajuan, perpaduan dan masa depan negara.

“Selamat menyambut Hari Wilayah Persekutuan 2026. Semoga wilayah ini terus makmur dan dirahmati Allah SWT,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026 turut mengangkat nilai perpaduan, keharmonian serta kerjasama erat dalam memacu pembangunan bersama.

Menurutnya, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bukan sahaja menjadi mercu tanda kejayaan Malaysia, malah memiliki keunikan tersendiri dengan kepelbagaian budaya serta keindahan yang menarik kehadiran pelancong dari seluruh dunia.

“Sambutan tahun ini sekali lagi mengangkat tema ‘Wilayah Persekutuan Kita’ yang menggambarkan semangat kebersamaan dan kerjasama erat dalam pembangunan wilayah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menegaskan bahawa sambutan Hari Wilayah Persekutuan membawa mesej jelas bahawa pembangunan bandar mesti berfungsi untuk rakyat dan tidak membebankan.

Beliau berkata, perancangan ruang awam, aspek keselamatan serta tadbir urus bandar perlu dilaksanakan secara inklusif bagi memastikan kualiti hidup yang adil, terbuka dan selesa untuk semua lapisan masyarakat.

“Ruang awam mesti mudah diakses dan digunakan oleh semua termasuk keluarga, belia, warga emas dan orang kurang upaya (OKU). Keselamatan dibina melalui reka bentuk dan keterlibatan, bukan sekatan,” katanya.

Hannah turut menegaskan keperluan tadbir urus bandar yang responsif dan berani membetulkan kelemahan, dengan pembangunan infrastruktur dilaksanakan tanpa menjejaskan fungsi sosial bandar.

“Kita bukan hanya membina fizikal bandar, tetapi pengalaman hidup yang adil, terbuka dan selesa. Bandar ini milik rakyat,” katanya.

+ - reset