TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pertengkaran dengan peniaga punca Inspektor Sheila ditahan di Batu Caves

By
|
Kongsi
image

GOMBAK 1 Feb – Tindakan menimbulkan kekecohan termasuk bertengkar dengan peniaga menjadi punca seorang wanita dikenali sebagai Inspektor Sheila ditahan polis di Batu Caves di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, penahanan dibuat oleh anggota polis yang bertugas di kawasan tersebut sempena sambutan Thaipusam selepas wanita berkenaan dipercayai terlibat dalam insiden yang berpotensi mencetuskan kekecohan awam.

“Seorang wanita yang kita kenali sebagai Sheila telah ditahan semalam berikutan beberapa perkara di luar jangkaan yang boleh menimbulkan kekecohan, antaranya pertengkaran dengan peniaga di sekitar kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri program Community Policing di Batu Caves, di sini pada Ahad.

Menurut Mohd Khalid, penahanan ke atas Sheila dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Mengulas mengenai status wanita tersebut, Mohd Khalid berkata, Inspektor Sheila atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar sebelum ini pernah berkhidmat dalam pasukan polis, namun mempunyai beberapa isu berkaitan kesihatan.

“Kes ini masih dalam siasatan dan pihak polis sedang menunggu arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan undang-undang selanjutnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan seramai kira-kira 1,400 anggota dan petugas keselamatan ditugaskan secara berperingkat sepanjang 24 jam bagi mengawal keselamatan sempena sambutan Thaipusam di Batu Caves.

Menurutnya, operasi keselamatan turut dibantu oleh beberapa agensi lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Bulan Sabit Merah Malaysia serta Jabatan Kerja Raya.

“Setakat ini, tiada kejadian serius dilaporkan dan tindakan awal telah diambil bagi mengelakkan insiden tidak diingini seperti pergaduhan kecil,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Khalid berkata, dianggarkan antara 1.4 hingga 1.5 juta pengunjung hadir ke Batu Caves sempena sambutan Thaipusam tahun ini.

+ - reset