TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Didakwa basuh lebihan makanan untuk dijual semula, restoran di Seremban ditutup 14 hari

By
|
Kongsi
image

SEREMBAN 4 Feb – Sebuah premis makanan di Seremban diarah tutup selama 14 hari bermula semalam selepas didakwa mencuci lebihan makanan untuk dimasak dan dijual semula kepada pelanggan.

Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, tindakan penguatkuasaan itu diambil mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983, selain pengeluaran notis kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Menurut JKNNS, pihaknya mengambil maklum aduan yang tular di media sosial berhubung dakwaan pengendali makanan mencuci saki-baki makanan seperti daging ayam, daging kambing dan tauhu, dipercayai daripada lebihan masakan yang tidak habis dijual untuk dimasak semula pada keesokan hari.

“Aduan tersebut dipercayai berlaku di sebuah restoran di Seremban dan jabatan ini telah menjalankan siasatan ke atas premis berkenaan,” menurut kenyataan itu.

JKNNS menegaskan pihaknya memandang serius isu kebersihan dan keselamatan makanan, memandangkan pengabaian aspek tersebut boleh mengundang risiko keracunan makanan kepada orang ramai.

Sehubungan itu, pemilik, pengusaha dan pengendali premis makanan diingatkan supaya sentiasa mematuhi piawaian kebersihan yang ditetapkan serta memastikan keselamatan makanan berada pada tahap terbaik.

Orang ramai pula dinasihatkan mengamalkan prinsip “Perhati dan Pilih” ketika memilih premis makanan, selain kaedah “Lihat, Hidu dan Rasa” sebagai langkah mudah bagi mengelakkan keracunan makanan.

Dalam perkembangan sama, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) turut mengeluarkan tiga kompaun berjumlah RM750 kepada pemilik perniagaan terbabit atas beberapa kesalahan, antaranya menjalankan perniagaan tanpa kebenaran MBS.

Dua lagi kesalahan melibatkan mempamerkan iklan tanpa kebenaran, selain gagal menjaga kebersihan dan tiada jadual pembersihan tandas.

+ - reset