TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KPM buat persiapan maksimum hadapi kemasukan murid tahun satu mulai tahun hadapan - Fadhlina

By
|
Kongsi
image

 

NIBONG TEBAL 8 Feb - Kementerian Pendidikan (KPM) bersiap siaga sepenuhnya bagi menghadapi kemasukan kanak-kanak enam tahun ke tahun satu bermula tahun hadapan susulan jangkaan sambutan menggalakkan daripada ibu bapa, khususnya di kawasan bandar.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pendaftaran murid secara dalam talian akan dibuka pada 15 Februari dan berdasarkan maklum balas awal diterima, kementerian menjangkakan peningkatan ketara jumlah kemasukan murid.

"Seperti saya sebutkan di Parlimen sebelum ini, persiapan kita pada tahap maksimum walaupun bilangan murid belum dapat sepenuhnya kerana pendaftaran belum dibuka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program dan Semarak Sejahtera Warga Emas Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), Datuk Che Murad Sayang Ramjan.

Menurut Fadhlina, tumpuan utama KPM ketika ini adalah pemetaan kawasan dan sekolah, termasuk mengenal pasti fasiliti sedia ada, kapasiti kelas serta mengoptimumkan sekolah yang dijangka menerima limpahan pelajar.

"Kalau ikut pemetaan kita, semua kawasan bandar dijangka terima lebih ramai (murid) daripada biasa. Bermakna ibu bapa menyambut perkara ini dengan sangat baik,” katanya.

Bagi menampung keperluan itu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, KPM akan mengoptimumkan penggunaan kelas sedia ada selain menambah kelas baharu melalui kaedah pembinaan sistem berindustri (IBS) yang lebih pantas berbanding pembinaan konvensional.

"Kita juga akan membuka pengambilan 20,000 guru seperti yang diperlukan. Dua perkara utama sedang kita persiapkan dengan sangat tekun dan teliti kerana KPM komited memastikan kelancaran pelaksanaan kemasukan murid tahun satu,” katanya. 

+ - reset