TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tengku Mahkota Pahang ziarah waris lima sekeluarga maut di Kuantan

By
|
Kongsi
image

KUANTAN 20 Feb – Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan mencemar duli berangkat menziarahi waris kepada lima sekeluarga yang meninggal dunia dalam kejadian tragis di Taman Cherating Damai, di sini.

Menerusi hantaran di akaun Facebook Kesultanan Pahang, baginda turut menyantuni ahli keluarga mangsa serta mengurniakan sumbangan kepada waris yang terkesan.

Menurut hantaran itu, keberangkatan Tengku Mahkota Pahang diiringi Pegawai Daerah Kuantan, Datuk Sharudin Jali serta Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah.

Kelima-lima jenazah sebelum ini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Budaya Cherating.

Empat jenazah iaitu Tuan Kamaria Tuan Puteh, 56; Nurul Asshiykin Kamaruzaman, 33; serta dua kanak-kanak, Nur Sumayyah Humairah, 2, dan Nur Saffiyah Humairah, 5, disemadikan dalam satu liang lahad.

Jenazah dibawa ke Masjid Cherating untuk dimandi dan dikafankan sebelum disolatkan, manakala seorang lagi jenazah dibawa ke Masjid Sungai Ular untuk urusan sama.

Semua jenazah kemudian dikebumikan dengan kehadiran lebih 100 ahli keluarga, jiran dan kenalan.

Dalam kejadian pada awal pagi Selasa lalu, lima sekeluarga ditemukan meninggal dunia di kediaman mereka. Pihak berkuasa memaklumkan siasatan masih dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung insiden tersebut.

+ - reset