TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Rumah, kenderaan musnah dalam kebakaran di kuarters SMK Tunku Putra

By
|
Kongsi
image

LANGKAWI 20 Feb – Sebuah rumah dan sebuah kenderaan musnah dalam kebakaran yang berlaku sejurus selepas waktu berbuka puasa pada hari pertama Ramadan, semalam.

Kejadian kira-kira pukul 7.45 malam itu berlaku di kuarters guru SMK Tunku Putra di Padang Matsirat. Tiada mangsa dilaporkan terlibat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon 4 Langkawi, Penguasa Bomba Mohd Zamri Abd Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.52 malam.

Menurutnya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Padang Matsirat tiba di lokasi tiga minit kemudian dengan bantuan anggota dari balai Langkawi.

“Kebakaran melibatkan sebuah unit kuarters guru jenis separa berkembar satu tingkat Kelas A berkeluasan 324 meter persegi.

“Unit berkenaan mengalami kerosakan kira-kira 20 peratus manakala sebuah Volkswagen Polo yang diparkir di premis itu musnah kira-kira 90 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Api berjaya dikawal pada pukul 8.17 malam sebelum kerja-kerja pemeriksaan lanjut (overhaul) dijalankan bagi memastikan tiada lagi punca api di lokasi kejadian.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 10.01 malam. Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

+ - reset