TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Warga emas parah ditikam anak kandung guna pembuka tin di Kuala Pilah

By
|
Kongsi
image

 

KUALA PILAH 21 Feb – Seorang wanita warga emas cedera parah di bahagian leher selepas dipercayai ditikam anak perempuannya dalam kejadian di Kampung Segineh Inas, Johol, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa berusia lingkungan 80-an dipercayai diserang menggunakan alat pembuka tin oleh suspek yang dikatakan mempunyai masalah mental.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Mustafah Hussin, berkata mangsa kini dalam keadaan stabil dan menerima rawatan di Hospital Rembau.

"Pihak polis mengesahkan menerima satu laporan berhubung kejadian tikaman membabitkan ahli keluarga di Kampung Segineh Inas. Pada jam 7.08 malam tadi, polis terima maklumat orang awam memaklumkan satu kes pergaduhan di sebuah rumah.

"Suspek dikatakan menikam leher ibunya sendiri menggunakan senjata tajam yang dipercayai alat pembuka tin. Suspek, wanita berumur 50-an yang juga anak kandung mangsa.

"Motif kejadian masih dalam siasatan dan kemungkinan suspek mempunyai masalah kesihatan mental. Dia kini ditahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah di talian 06-4842999.

Sementara itu, Bernama melaporkan polis sudah menahan seorang wanita berusia lingkungan 50 tahun selepas didakwa menikam leher ibunya di Kampung Segineh Inas.

+ - reset