TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Azam Baki saman Bloomberg RM100 juta dakwa artikel saham berunsur fitnah

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 21 Feb – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, memfailkan saman fitnah terhadap Bloomberg L.P. berhubung artikel berkaitan dakwaan pemilikan saham yang diterbitkan pada 10 Februari lalu.

Saman yang difailkan melalui Tetuan Zain Megat & Murad di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menamakan Bloomberg yang beralamat di Lexington Avenue, New York serta cawangannya di Malaysia, Bloomberg (Malaysia) Sdn Bhd, sebagai defendan pertama dan kedua.

Menerusi writ saman dan pernyataan tuntutan, Azam menuntut ganti rugi am RM100 juta selain ganti rugi teruk dan teladan, faedah serta kos. Beliau turut memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan daripada menerbitkan kenyataan yang didakwa memfitnah serta memadam artikel berkenaan dalam tempoh tiga hari selepas penghakiman, selain menuntut permohonan maaf yang dipersetujui peguamnya.

Azam mendakwa artikel bertajuk Malaysian Anti-Graft Chief Returns to Stocks After Outcry yang diterbitkan Bloomberg.com menuduh beliau memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd dan tidak mengisytiharkan aset secara terbuka.

Menurutnya, artikel berkenaan berkaitan pentadbiran awam Malaysia dan boleh diakses pelanggan Bloomberg Terminal termasuk institusi kewangan serta pengguna komersial di negara ini, sekali gus memberi gambaran negatif terhadap dirinya sebagai penjawat awam berprofil tinggi.

Azam berkata sebelum artikel diterbitkan, defendan menghubunginya untuk mendapatkan penjelasan dan beliau telah memberikan maklum balas terperinci, namun penjelasan itu didakwa tidak diambil kira sepenuhnya.

Beliau juga mendakwa defendan gagal mengambil langkah munasabah untuk mengesahkan ketepatan fakta termasuk semakan silang sumber sebelum penerbitan.

“Tindakan defendan-defendan bertentangan dengan prinsip kewartawanan bertanggungjawab serta elemen-elemen di bawah Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, iaitu larangan penerbitan berita palsu atau berita yang tidak disahkan... pihak penerbit mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa sesuatu penerbitan adalah tepat, benar dan tidak mengelirukan sebelum disiarkan kepada umum,” katanya dalam pernyataan tuntutan.

Azam mendakwa kenyataan itu memberi maksud beliau tidak jujur, melanggar peraturan pengisytiharan aset dan menyalahgunakan kuasa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Beliau menegaskan semua pengisytiharan aset dibuat mengikut peraturan dan saham yang disebut dalam artikel telah dilupuskan sebelum penerbitan, selain pelaburan dibuat menggunakan sumber kewangan sah.

Menurutnya lagi, artikel berkenaan mengandungi maklumat tidak tepat serta gambaran mengelirukan yang mewujudkan naratif palsu terhadap dirinya.

+ - reset