TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tokoh kewangan Islam, Daud Bakar dan Mahadi BZ mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sekuriti tanpa lesen

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 23 Feb – Tokoh kewangan Islam, Mohd Daud Bakar yang juga bekas Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan bersubahat menjalankan perniagaan sekuriti tanpa lesen sah, tiga tahun lalu.

Mohd Daud, 62, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail. Beliau kemudian memohon untuk dibicarakan.

Berdasarkan pertuduhan, beliau didakwa sebagai wakil syarikat aktiviti jual beli komoditi, Energy Eco Berhad, bersubahat dengan AUF MBZ Consortium PLT yang didakwa menjalankan aktiviti terkawal iaitu perniagaan sekuriti tanpa lesen sah.

Kesalahan didakwa dilakukan di C6-1, Jalan Reef ½, Pusat Perniagaan Reef, Rawang, Gombak antara 14 Jun 2021 hingga 9 Ogos 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dibaca bersama peruntukan berkaitan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan denda sehingga RM10 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, pengasas dan Presiden AUF MBZ, Mahadi Badrul Zaman turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menjalankan perniagaan sekuriti tanpa lesen sah.

Mahadi, 43, yang juga dikenali sebagai Mahadi BZ dan suami kepada penyanyi serta aktivis Heliza Helmi, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azrul Darus dan Norma Ismail.

Menurut pertuduhan, beliau sebagai wakil AUF MBZ Consortium PLT didakwa menjalankan perniagaan sekuriti walaupun syarikat tersebut tidak mempunyai Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan tidak berdaftar sebagai perniagaan sekuriti.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah villa di Sunway South Quay, Subang Jaya antara 14 Jun 2021 hingga 15 Februari 2024.

Sekiranya sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan denda sehingga RM10 juta atau penjara maksimum 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.

+ - reset