Berita Berita
'Ini akan beri kesan kepadanya' - Peguam mohon jaminan, risau janggut suami Heliza Helmi dipotong jika ditahan
KUALA LUMPUR 23 Feb - Peguam yang mewakili suami selebriti Heliza Helmi, Datuk Mahadi Badrul Zaman, memohon mahkamah membenarkan jaminan terhadap anak guamnya atas alasan bimbang janggut panjangnya akan dipotong sekiranya ditahan di penjara.
Permohonan itu dikemukakan peguam bela, Datuk Mohd Zamri Mohd Idrus ketika hujahan bagi mengurangkan jumlah jaminan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Norma Ismail.
"Ini akan memberi kesan kepadanya," katanya.
Menurut Mohd Zamri, Mahadi yang membantu mengendalikan jemaah umrah, memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dan bukan individu berisiko untuk melarikan diri.
Beliau turut memaklumkan bahawa anak guamnya menanggung ibunya yang menghidap kanser dengan tahap kesihatan tidak menentu, selain memikul tanggungjawab terhadap keluarga mentua.
Terdahulu, Mahadi, 43, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di dua mahkamah berasingan di hadapan Hakim Norma dan Hakim Azrul Darus.
Mengikut pertuduhan, Mahadi didakwa menjalankan suatu urusan dalam aktiviti terkawal iaitu berniaga dalam sekuriti sedangkan syarikat AUF MBZ Consortium PLT bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal.
Beliau juga bukan individu berdaftar bagi aktiviti terkawal berniaga dalam sekuriti, dan sebagai wakil syarikat itu disifatkan telah melakukan kesalahan terbabit.
Mahadi didakwa melakukan perbuatan berkenaan di sebuah rumah di Bayrocks Garden Waterfront Villa, Sunway South Quay, Subang Jaya antara 14 Jun 2021 hingga 15 Februari 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) dibaca bersama Subseksyen 367(1) akta sama dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 58(4) yang memperuntukkan denda maksimum RM10 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Sekuriti (SC), Danial Imran Nasaruddin memohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam serta keyakinan pelabur dalam pasaran sekuriti sebelum membenarkan jaminan.
Beliau berkata, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM250,000 dengan dua penjamin selain pasport diserahkan kepada mahkamah serta tertuduh perlu melapor diri di pejabat SC sebulan sekali.
Bagaimanapun, kedua-dua mahkamah membenarkan Mahadi diikat jamin masing-masing RM50,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan semua syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.
Berita berkaitan
February 23, 2026, 7:11 pm
Warga emas maut dirempuh MPV sendiri di Seremban
February 23, 2026, 4:26 pm
Tokoh kewangan Islam, Daud Bakar dan Mahadi BZ mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sekuriti tanpa lesen
February 23, 2026, 4:20 pm
Teresa Kok rugi RM2,000 selepas kereta dipecah di Bukit Kiara
February 23, 2026, 4:17 pm
Polis cari pemandu kereta pandu melulu di Kompleks Sultan Abu Bakar
February 23, 2026, 4:13 pm
Dewan Rakyat belum terima notis pertukaran Ketua Pembangkang
February 23, 2026, 3:50 pm
Ashwad Ismail dilantik Ketua Pengarah Penyiaran RTM baharu
February 23, 2026, 3:44 pm
Wanita ditemui dalam kereta di Paya Terubong meninggal dunia akibat pneumonia
February 23, 2026, 2:48 pm
Pelajar Tingkatan 1 mengaku bersalah cabul rakan OKU berkerusi roda dalam kelas
February 23, 2026, 1:54 pm
