TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Perjanjian perdagangan timbal balik Malaysia–AS belum berkuat kuasa - Anwar

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 24 Feb – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat masih belum berkuat kuasa ketika ini.

Menurut beliau, perjanjian tersebut masih tertakluk kepada proses ratifikasi mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Malah, katanya, sehingga semalam pihak AS belum mengemukakan sebarang cadangan tarif untuk melalui proses ratifikasi, sekali gus menyebabkan perkara itu masih tertangguh.

“Kita sedang memantau perkembangan ini dan mengambil maklum bahawa Presiden AS berkemungkinan menggunakan Seksyen 122 Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa Amerika Syarikat (IEEPA).

“Namun, masih belum dapat dipastikan sama ada Kongres AS akan bersetuju dengan keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat atau mengambil pendirian berbeza.

“Jadi, perintah eksekutif tentang tarif global baharu ini, bagi saya, harus dipantau dari dekat dengan mengambil kira kepentingan ekonomi Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) berhubung pendirian Malaysia terhadap keputusan Mahkamah Agung AS yang mengisytiharkan tarif diperkenalkan bekas Presiden, Donald Trump sebagai tidak sah serta implikasinya terhadap hubungan perdagangan Malaysia-AS.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia akan meneruskan hubungan perdagangan dengan AS memandangkan tindakan yang dikenakan sebelum ini tidak melibatkan syarikat Malaysia secara langsung.

“Kita tidak mahu dalam keadaan sekarang mengambil keputusan gopoh yang mungkin menjejaskan kepentingan perdagangan kita.

“Eksport Malaysia ke AS mencecah RM233.1 bilion, manakala perdagangan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat berjumlah RM367.5 bilion, angka ini terlalu besar untuk dipertaruhkan,” katanya.

+ - reset