TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bapa lima anak curi tong gas dipenjara 21 bulan

By
|
Kongsi
image

 

BATU PAHAT 24 Feb - Seorang bapa kepada lima anak dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 21 bulan oleh Mahkamah Majistret Yong Peng di sini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencuri tong gas milik sebuah masjid dan seorang wanita, Jumaat lalu.

Tertuduh, Mohamad Haheril Nizan Muhari, 50, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Arun Noval Dass.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki yang bekerja sendiri itu didakwa mencuri tong gas milik seorang wanita berusia 33 tahun serta sebuah masjid di Sri Medan, masing-masing pada jam 7.15 pagi dan 11 pagi, 19 dan 20 Februari lalu.

Semakan rekod mendapati Mohamad Haheril Nizan mempunyai dua rekod lampau termasuk pernah dipenjara setahun pada 2020 atas kesalahan mencuri motosikal.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan polis pada 20 Februari lalu sebelum kedua-dua tong gas yang dicuri ditemui semula selepas dijual di sebuah kedai runcit dengan harga RM50 setiap satu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan bagi pertuduhan pertama dan 10 bulan bagi pertuduhan kedua serta denda RM2,000, dengan semua hukuman penjara berjalan serentak.

Selain itu, tertuduh dikenakan tambahan tiga bulan penjara selepas gagal menjelaskan denda berkenaan.

+ - reset