Berita Berita
Pendakwa Raya tidak bantah permohonan DNA Ahmad Zahid, mahkamah tangguh keputusan
KUALA LUMPUR 24 Feb - Prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini menyaksikan Pendakwa Raya memaklumkan tiada bantahan terhadap permohonan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk dibebaskan daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.
Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II, Datuk Badius Zaman Ahmad berkata, pihaknya tidak memfailkan afidavit jawapan terhadap permohonan yang difailkan pada 28 Januari lalu dan hanya diarahkan hadir pada prosiding berkenaan.
"Dengan izin kami diserah pagi ini dengan bantahan Badan Peguam terhadap permohonan DNA. Arahan yang diberi untuk hadir.
"Tiada bantahan terhadap permohonan (untuk DNA) …saya serahkan kepada mahkamah (untuk membuat keputusan)," katanya.
Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi, Nurulhuda Nur'aini Mohamad Nor berkata mahkamah tidak akan membuat keputusan berhubung permohonan itu pada peringkat ini.
Beliau berkata, ia sehingga Mahkamah Rayuan memutuskan permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan Badan Peguam untuk mencabar tindakan Peguam Negara (AG) memberhentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid, yang dijadual didengar pada 8 April ini.
Pejabat Peguam Negara dalam kenyataan awal Januari memaklumkan tiada tindakan lanjut terhadap 47 tuduhan yang dihadapi Ahmad Zahid selepas meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baharu, selaras kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan serta undang-undang berkaitan.
Pada 12 Januari lalu, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar menegaskan keputusan mengklasifikasikan kes sebagai NFA dibuat hanya selepas pihak pendakwaan mengkaji dengan teliti enam representasi yang dikemukakan oleh Presiden UMNO itu.
Mohd Dusuki berkata, keputusan oleh AGC itu tidak dibuat secara 'suka-suka' dan jabatan itu tidak akan memberikan 'NFA tanpa penilaian menyeluruh terhadap fakta, bukti dan merit undang-undang sesuatu kes.
Sebelum ini, pada 4 September 2023, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada semua 47 tuduhan selepas membenarkan permohonan Mohd Dusuki yang ketika itu Timbalan Pendakwa Raya.
Mohd Dusuki memaklumkan pendakwaan memutuskan untuk memberhentikan prosiding kerana berhasrat menyiasat kes berkenaan dengan lebih mendalam.
Ahmad Zahid sebelum itu menghantar surat representasi setebal 200 muka surat kepada AGC sebagai asas pertimbangan supaya pertuduhan terhadapnya digugurkan.
Surat representasi pertama dikemukakan pada Januari 2023, manakala yang terbaru lengkap dengan fakta dan bukti baharu dihantar kepada AGC pada Februari tahun sama.
Bagi pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadinya, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadi, pemindahan wang ke firma guaman serta sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.
Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun serta sebatan dan juga denda, jika sabit kesalahan.
Ahmad Zahid turut didakwa dengan lapan pertuduhan menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd.
Ia sebagai dorongan untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport dan dilantik sebagai pengendali pusat sehenti visa migran masing-masing di Pakistan dan Nepal.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar antara 15 Julai 2016 dan 15 Mac 2018 mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Selain itu, Ahmad Zahid berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan transaksi secara langsung hasil daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.
Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank sama di Jalan Maarof, Bangsar serta Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang di sini, antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.
Berita berkaitan
February 24, 2026, 5:15 pm
SPRM tahan 12 individu termasuk penguat kuasa disyaki terbabit tonto, lindungi syarikat lori
February 24, 2026, 4:53 pm
Dua cedera SUV terbabas jatuh gaung di ladang teh Cameron Highlands
February 24, 2026, 4:34 pm
Menteri Agama nasihat 'influencer', penyanyi utamakan imarah Ramadan, bukan lagu raya
February 24, 2026, 4:08 pm
Bapa lima anak curi tong gas dipenjara 21 bulan
February 24, 2026, 12:55 pm
Pegawai JKM didakwa salah guna wang bantuan baiki rumah milik orang lain bernilai RM15,000
February 24, 2026, 12:41 pm
Hamzah saman Redzuan RM100 juta isu dakwaan sokong Anwar
February 24, 2026, 12:28 pm
EXCO Terengganu didakwa salah guna kedudukan dapatkan rasuah untuk dua anak
February 24, 2026, 12:15 pm
Perjanjian perdagangan timbal balik Malaysia–AS belum berkuat kuasa - Anwar
February 24, 2026, 11:47 am
