TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hamzah saman Redzuan RM100 juta isu dakwaan sokong Anwar

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 24 Feb – Hamzah Zainuddin memfailkan saman fitnah berjumlah RM100 juta terhadap pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Redzuan Yusof berhubung dakwaan beliau mengatur enam Ahli Parlimen parti itu menyokong Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada 2023.

Saman berkenaan difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 12 Januari lalu menerusi firma guaman Messrs Siddiq Azani & Co dengan menamakan Redzuan sebagai defendan.

Berdasarkan writ saman dan pernyataan tuntutan yang dilaporkan New Straits Times, Hamzah menuntut RM50 juta sebagai ganti rugi am serta masing-masing RM25 juta bagi ganti rugi teruk dan teladan.

Beliau turut memohon mahkamah mengenakan faedah lima peratus setahun ke atas jumlah penghakiman bermula dari tarikh keputusan sehingga penyelesaian penuh.

Selain itu, Hamzah memohon perintah supaya Redzuan menarik balik kenyataan berkenaan serta membuat permohonan maaf secara terbuka tanpa syarat melalui media elektronik dan akhbar harian berbahasa Melayu mengikut terma dipersetujui.

Hamzah mendakwa Redzuan gagal memohon maaf berhubung kenyataan yang disiarkan dalam BH pada 5 November 2025, yang menurutnya palsu, berniat jahat serta menjejaskan reputasinya sebagai Ketua Pembangkang dan pemimpin kanan BERSATU ketika itu.

Antara dakwaan yang dipertikaikan ialah beliau didakwa menekan Presiden BERSATU, Muhyiddin Yassin supaya meletakkan jawatan, menggerakkan enam Ahli Parlimen BERSATU menyokong Anwar serta mensabotaj parti.

Enam Ahli Parlimen terbabit ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Menurut Hamzah, penyiaran meluas kenyataan itu melalui akhbar dan platform digital mendedahkannya kepada kritikan serta cemuhan awam selain menjejaskan keyakinan ahli parti dan orang ramai terhadap peranannya.

Susulan itu, beliau menghantar surat tuntutan kepada Redzuan pada 6 November tahun lalu.

Bagaimanapun, firma guaman Messrs Cheah Teh & Su yang mewakili Redzuan dilaporkan menafikan bekas Ahli Parlimen Alor Gajah itu membuat kenyataan dipertikaikan.

Hamzah yang juga bekas Timbalan Presiden BERSATU dipecat daripada parti itu pada 13 Februari lalu.

Redzuan ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai saman tersebut, namun memaklumkan peguamnya telah dimaklumkan dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

+ - reset