TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

SPRM tahan 12 individu termasuk penguat kuasa disyaki terbabit tonto, lindungi syarikat lori

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 24 Feb - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan 12 individu termasuk tiga penguat kuasa kerana disyaki terbabit dalam kegiatan tonto dan rasuah bagi melindungi pemilik lori di Semenanjung.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya berkata, SPRM bersama Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) melakukan serbuan di beberapa kediaman dan syarikat sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan, hari ini.

Menurutnya, lokasi yang diserbu dipercayai menyimpan dokumen berkaitan pemberian rasuah kepada ejen dan orang tengah yang disyaki berlangsung sejak 2023.

“Seramai 12 suspek lelaki ditahan antara jam 5.30 hingga 7 pagi menerusi Op Middleman yang dijalankan Cawangan Projek Khas, Bahagian Perisikan SPRM bersama JPJ.

“Sembilan suspek disyaki bertindak sebagai ejen dan orang tengah dengan menawarkan serta memberi rasuah antara RM100 hingga RM4,500 sebulan kepada pegawai penguat kuasa JPJ Kuala Lumpur dan Selangor sebagai balasan untuk melindungi serta tidak mengambil tindakan terhadap lori di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Khusairi berkata, semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya untuk dirakam keterangan.

“Siasatan mendapati ejen atau orang tengah akan memasukkan wang rasuah ke dalam akaun keldai sebelum dikeluarkan oleh pegawai penguat kuasa yang terbabit,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

+ - reset