TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pegawai JKM didakwa salah guna wang bantuan baiki rumah milik orang lain bernilai RM15,000

By
|
Kongsi
image

 

ALOR SETAR 24 Feb - Seorang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menyalahgunakan wang bantuan membaiki rumah berjumlah keseluruhan RM15,000, masing-masing pada 2016 dan 2017.

Tertuduh, Mohamad Zarir Mohd. Khozali, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kulim Gred S41 didakwa menyalahgunakan bantuan membaiki rumah sebanyak RM3,000 milik seorang wanita di Pejabat Kebajikan Masyarakat Kulim pada 19 September 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Mohamad Zarir didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan bantuan membaiki rumah berjumlah RM12,000 milik dua wanita berasingan di sebuah bank di Kulim pada 2 Oktober 2017.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun serta sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Atikah Ab. Rashid manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Hakim Hamran.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon jaminan sebanyak RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan, namun pihak pembelaan merayu agar jumlah itu dikurangkan kepada kadar minimum.

Menurut Mohd. Hakim, anak guamnya menanggung empat anak berusia antara 10 hingga 19 tahun yang masih bersekolah selain ibu bapa yang uzur, dan bakal menerima separuh gaji selepas ini.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan. Tertuduh membayar jaminan tersebut.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 8 April depan. 

+ - reset