TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Stok beras negara cukup tampung keperluan 5.45 bulan jika berlaku bencana

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 25 Feb – Stok fizikal beras semasa negara mampu menampung keperluan rakyat bagi tempoh 5.45 bulan sekiranya Malaysia berdepan bencana seperti banjir atau perubahan iklim yang mengganggu bekalan makanan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, setakat 3 Februari lalu, jumlah stok beras negara mencecah 1,089,285 tan metrik melibatkan 200,000 tan metrik stok penimbal dan 889,285 tan metrik stok dagangan.

Menurut beliau, penyediaan stok penimbal bagi komoditi utama seperti beras merupakan antara strategi dilaksanakan bagi memastikan kesinambungan bekalan makanan sekiranya berlaku bencana.

“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) turut melaksanakan Projek Rintis Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh Dua Tahun melibatkan kawasan seluas 3,000 hektar secara berperingkat bermula tahun 2024 di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

“Kementerian juga menaik taraf dan memodenkan sistem pengurusan air sektor pertanian melalui kerjasama awam-swasta secara berfasa bagi pembangunan dan penyelenggaraan Skim Pemindahan Air Jeniang Fasa II untuk mengoptimumkan pengurusan air ketika musim banjir dan kemarau,” katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, Rabu.

Beliau menjawab soalan Zakri Hassan (PN-Kangar) berhubung kaedah kementerian memastikan kesinambungan bekalan makanan negara ketika bencana yang menjejaskan pengeluaran hasil.

Mohamad berkata, Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) turut disediakan bagi memberi perlindungan kepada pengusaha padi kecil yang terjejas akibat bencana dengan pampasan sehingga RM3,000 sehektar bagi kerosakan tanaman.

Selain itu, Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) diwujudkan bagi menyalurkan bantuan segera kepada kumpulan sasar yang terkesan akibat bencana, penyakit tanaman atau serangan perosak.

“Pada tahun 2025, bantuan bencana tanaman padi sebanyak RM5.04 juta telah disalurkan kepada 2,255 pesawah melibatkan kawasan musnah seluas 3,253.4 hektar,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan kementerian memperkasa industri lembu pedaging melalui Program Peningkatan Ruminan dan Program Pembiakbakaan Ternakan Ruminan menggunakan teknologi pembiakan berbantu bagi meningkatkan populasi induk berkualiti dalam negara.

“Hasil lembu pedaging juga ditingkatkan menerusi Program Insentif Galakan Peningkatan Produktiviti Lembu Pedaging ke arah purata kadar kelahiran nasional 60 peratus.

“Kita juga mengeratkan hubungan dengan negara pembekal bahan makanan utama seperti negara ASEAN, China, India, Pakistan, Brazil, Australia, New Zealand dan negara sahabat lain,” katanya.

Dalam sektor akuakultur pula, jelas beliau, Pelan Pembangunan Baka dan Benih Akuakultur diperkukuh melalui Program Nucleus Breeding Centre (NBC) serta Broodstock Multiplier Centre (BMC) bagi menghasilkan benih dan induk yang lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim.

KPKM juga membangunkan serta memperluas Sistem Amaran Awal bagi serangan perosak seperti bena perang selain pemantauan cuaca melalui kerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).

Menjawab soalan tambahan, Mohamad memaklumkan seramai 265 pesawah dengan keluasan sawah musnah 333.82 hektar membabitkan tanaman padi berusia bawah 70 hari terjejas akibat banjir di Perlis pada November lalu.

Cadangan nilai bantuan kepada pesawah terbabit berjumlah RM292,426.32 dan akan diperaku serta diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk TBTP yang dijangka bersidang pada 6 Mac depan.

“Terkini, bagi kejadian kemarau di Perlis bulan ini melibatkan anggaran keluasan 300 hektar, Jabatan Pertanian negeri sedang menjalankan siasatan dan penilaian di lapangan sebelum data lengkap dikemukakan kepada jawatankuasa teknikal.

“Bagi bencana akhir November hingga Disember lalu pula, permohonan bantuan dianggarkan bernilai RM2.27 juta akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Induk TBTP,” katanya.

Beliau berkata, permohonan itu membabitkan 1,163 pesawah di lapan negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Pahang, Kelantan, Terengganu, Perak dan Sarawak dengan keluasan musnah 1,690.06 hektar.

+ - reset