Berita Berita
Waktu PdP Matematik sekolah rendah ditambah kepada 608 jam - Fadhlina
KUALA LUMPUR 26 Feb - Waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP) Matematik di sekolah rendah akan ditingkatkan kepada 608 jam sepanjang enam tahun persekolahan menerusi pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027).
Fadhlina Sidek berkata, peningkatan itu membabitkan tambahan 32 jam berbanding 576 jam sebelum ini sebagai usaha memperkukuh penguasaan asas literasi dan numerasi dalam kalangan murid.
Menurut beliau, langkah berkenaan selaras dengan dapatan laporan Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM) 2024 yang menekankan kepentingan penguasaan numerasi kukuh dalam kalangan murid sekolah rendah.
“Kementerian Pendidikan sentiasa komited memastikan murid menguasai kemahiran asas Matematik dari peringkat prasekolah hingga menengah.
“Peningkatan waktu PdP ini memberi lebih peluang kepada murid memahami konsep Matematik secara mendalam serta mengaplikasikannya dalam situasi harian.
“Pertambahan masa juga membolehkan guru memberi perhatian khusus dan melaksanakan intervensi kepada murid yang memerlukan sokongan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Seri Rafizi Ramli (PH-Pandan).
Beliau menjelaskan, penelitian terperinci dibuat terhadap struktur masa pengajaran susulan kebimbangan mengenai peruntukan waktu PdP Matematik di Malaysia berbanding beberapa negara ASEAN lain yang menyertai SEA-PLM.
Menurutnya, semasa pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) mulai 1993, Matematik diperuntukkan 3.5 jam seminggu.
Bagaimanapun, ketika Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) diperkenalkan pada 2011, peruntukan itu dikurangkan kepada tiga jam seminggu susulan pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), dengan fokus kepada pengukuhan bahasa dan ia dikekalkan dalam KSSR (Semakan 2017).
Di bawah KP2027, waktu PdP Matematik akan ditingkatkan kepada 3.5 jam seminggu bagi Tahap I serta tiga jam seminggu bagi Tahap II dan Tahap III.
Selain pertambahan waktu PdP, Kementerian Pendidikan Malaysia turut melaksanakan program intervensi melalui Program Literasi dan Numerasi Sekolah Rendah (PLaN) bagi memastikan murid menguasai literasi dan numerasi sebelum melangkah ke peringkat menengah.
“Matematik merupakan antara mata pelajaran utama yang menjadi fokus dalam pelaksanaan PLaN,” katanya.
Fadhlina berkata, peningkatan masa pengajaran Matematik di bawah KP2027 yang digandingkan dengan pelaksanaan intervensi melalui PLaN adalah langkah strategik untuk memperkukuh asas literasi dan numerasi murid.
Katanya, asas yang kukuh penting dalam membentuk pemikiran kritis, keupayaan menyelesaikan masalah serta kemahiran asas yang diperlukan untuk kejayaan dalam pendidikan seterusnya dan kehidupan seharian.
Berita berkaitan
February 25, 2026, 9:28 pm
Yayasan Kubra roboh kuil di Rawang ikut undang-undang - Haniff Khatri
February 25, 2026, 3:26 pm
Mayat wanita ditemukan terapung dalam sungai berhampiran masjid di Alor Setar
February 25, 2026, 3:01 pm
Akibat pukul warga emas selepas kemalangan, lelaki terpaksa beraya dalam penjara
February 25, 2026, 2:45 pm
Pemindahan patung berhala Kuil Sri Uchimalai Muniswaran berjalan lancar - Polis
February 25, 2026, 2:13 pm
Lelaki kostum ikan duyung promosi air balang ditahan, terima upah RM200
February 25, 2026, 2:02 pm
Lelaki pecut lebih 10 kilometer elak ditahan, rempuh MPV polis di Sungai Petani
February 25, 2026, 1:53 pm
BN sahkan tiada pertemuan dengan Hamzah, kumpulan dipecat BERSATU
February 25, 2026, 1:43 pm
MCMC teliti langkah perundangan kekang aplikasi janji temu songsang
February 25, 2026, 1:31 pm
