TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki pecut lebih 10 kilometer elak ditahan, rempuh MPV polis di Sungai Petani

By
|
Kongsi
image

SUNGAI PETANI 25 Feb – Hanya kerana cukai jalan kereta tamat tempoh, seorang lelaki sanggup memecut sejauh lebih 10 kilometer bagi mengelak ditahan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dalam kejadian di Tikam Batu, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.10 malam itu, lelaki tempatan berusia 22 tahun berkenaan bertindak merempuh kenderaan polis serta sebuah kereta milik orang awam sebelum berjaya diberkas di Jalan Sungai Layar.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima permohonan bantuan daripada sebuah MPV yang sedang mengejar sebuah kereta.

Menurutnya, suspek yang memandu Proton Saga FL memecut dari Jalan Kuala Ketil menuju ke Tikam Batu sebelum berpatah balik ke Taman Sri Tanjung di Sungai Layar.

“Ketika melalui kawasan taman perumahan, suspek melanggar sebuah Proton Saga milik seorang wanita yang diparkir di garaj sebelum melarikan diri sambil dikejar dua kereta peronda polis.

“Suspek kemudian terserempak sebuah lagi kereta peronda polis yang datang memberi bantuan dan telah melanggar bahagian tepi MPV itu sebelum berjaya ditahan,” katanya hari ini.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, kenderaan peronda jenis Honda Civic mengalami kerosakan di bahagian kanan termasuk pintu penumpang belakang yang kemek.

Kereta milik penghuni Taman Sri Tanjung pula rosak di beberapa bahagian belakang manakala kenderaan dipandu suspek turut mengalami kerosakan di bahagian kanan.

“Pemeriksaan di lokasi tidak menemui sebarang bahan terlarang atau senjata berbahaya di dalam kereta berkenaan. Bagaimanapun, cukai jalan kenderaan yang didaftarkan atas nama abangnya didapati telah tamat tempoh,” katanya.

Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan lanjut dan ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu negatif dadah serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Tambah beliau, suspek kini dalam proses permohonan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

+ - reset