TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MCMC teliti langkah perundangan kekang aplikasi janji temu songsang

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 25 Feb – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti beberapa langkah perundangan bagi membendung aplikasi janji temu songsang seperti Grindr, Blued dan Growlr yang didakwa menjadi medium utama perkenalan hubungan sejenis.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, setakat ini MCMC telah menyekat akses ke atas laman sesawang seperti Grindr dan Blued.

Bagaimanapun, menurut beliau, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan untuk menurunkan aplikasi berkenaan daripada gedung aplikasi.

“Kawalan ke atas aplikasi-aplikasi di platform seperti Google Play dan Apple App Store adalah tertakluk kepada dasar serta peraturan yang ditetapkan oleh penyedia platform berkenaan.

“Ini memandangkan kedua-duanya dimiliki syarikat asing yang beroperasi dan berpangkalan di luar negara,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau menjawab pertanyaan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mengenai sama ada MCMC telah mengambil tindakan melalui kerjasama dengan penyedia gedung aplikasi bagi menyekat muat turun aplikasi janji temu tersebut.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, MCMC akan mengambil tindakan terhadap kandungan atau fungsi aplikasi yang melanggar undang-undang tempatan.

Menurutnya, ia termasuk penyebaran kandungan lucah atau tidak bermoral, eksploitasi atau penderaan, penipuan, penyalahgunaan kanak-kanak serta ancaman terhadap keselamatan awam.

“Sekiranya mana-mana aplikasi termasuk aplikasi janji temu didapati digunakan untuk menyebarkan kandungan terlarang atau menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang, MCMC akan mengambil tindakan.

“Tindakan itu termasuk mengemukakan permohonan penurunan kandungan kepada platform atau gedung aplikasi berkaitan, memohon sekatan akses ke atas kandungan atau perkhidmatan berkenaan serta menyalurkan maklumat kepada agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia untuk siasatan lanjut,” katanya.

+ - reset