TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Akibat pukul warga emas selepas kemalangan, lelaki terpaksa beraya dalam penjara

By
|
Kongsi
image

 

SHAH ALAM 25 Feb – Seorang peniaga yang tular kerana memukul pemandu warga emas susulan kemalangan di Kajang awal bulan ini, dihukum penjara empat bulan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu terhadap Saiful Adli Yusof, 52, selepas membenarkan semakan hukuman bagi dua pertuduhan mencederakan dan mengugut mahu membunuh mangsa, Liew Khoon Foo, 70.

Menurut hakim, tindakan tertuduh adalah tidak wajar dan memberi kesan serius kepada mangsa.

“Selepas mendengar semua keterangan, mahkamah mengguna pakai Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah untuk memanggil semula kes ini dan memutuskan bahawa keputusan denda oleh Mahkamah Majistret (Kajang) diketepikan.

“Kamu (tertuduh) dipenjara empat bulan bermula hari ini bagi dua pertuduhan tersebut. Kedua-dua hukuman ini berjalan serentak,” katanya.

Terdahulu, Khoon Foo dalam kenyataan impak mangsa yang dibacakan dalam bahasa Mandarin memaklumkan beliau mengalami trauma, takut keluar rumah dan tidak lagi berani memandu selepas insiden berkenaan.

Warga emas itu menerima enam jahitan pada lidah sehingga sukar makan dan menafikan beliau sengaja melanggar kenderaan pelbagai guna Toyota Vellfire milik tertuduh.

“Saya tiada niat melanggar keretanya. Mungkin faktor usia menyebabkan kejadian itu berlaku. Laporan polis juga telah dibuat berhubung kemalangan itu. Saya takut dia simpan dendam dan mencari saya semula. Saya merayu hukuman setimpal,” katanya.

Peguam Muhammad Syakir Haznal yang mewakili Saiful berhujah bahawa anak guamnya tidak terus meluru, sebaliknya mengetuk pintu kenderaan mangsa dan berbincang terlebih dahulu, selain telah mengaku bersalah dan membayar denda sebelum ini.

Saiful ketika diberi peluang bercakap memaklumkan dia hilang pertimbangan selepas kenderaan Toyota Vellfire miliknya dilanggar sehingga menyebabkan bayi berusia tiga hari terlepas daripada isterinya dan terjatuh.

“Saya sudah membunyikan hon, tetapi dia (mangsa) terus memandu termasuk melanggar lampu isyarat. Saya kejar kira-kira 500 meter. Ketika itu saya dalam perjalanan mencari pam susu,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hasim menegaskan tindakan responden adalah kejam berdasarkan rakaman video yang menunjukkan mangsa ditendang tiga kali, ditumbuk dan dikepit pada pintu kereta.

“Negara ini ada undang-undang. Tindakan responden jelas pembuli jalan raya, bertindak semborono dan mengikut amarah. Mohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang memberi keinsafan,” katanya.

Pada 10 Februari lalu, Mahkamah Majistret Kajang mengenakan denda RM5,500 terhadap Saiful selepas beliau mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mencederakan mangsa di Jalan Cheras-Hulu Langat, Batu 9 Cheras pada 8 Februari.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Bapa empat anak itu turut didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa di lokasi dan waktu sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

+ - reset