TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

BN sahkan tiada pertemuan dengan Hamzah, kumpulan dipecat BERSATU

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 25 Feb – Barisan Nasional (BN) mengesahkan tiada sebarang pertemuan diadakan dengan Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin serta kumpulan pemimpin yang dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir turut memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang permohonan keanggotaan daripada kumpulan berkenaan atau hasrat untuk menyertai konsep ‘Rumah Baharu’ yang diperkenalkan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.

“Konsep Rumah Baharu kita terbuka dan tidak mengehadkan kepada kumpulan tertentu. Ia terbuka kepada parti politik, semua kumpulan dan mungkin juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini.

“Mereka yang memiliki hasrat, visi dan matlamat sama atas nama kesatuan boleh menyertai konsep Rumah Baharu,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hala tuju Hamzah selepas dipecat daripada BERSATU, susulan laporan bahawa Ketua Pembangkang itu dijangka membuat pengumuman dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan dilaporkan berkata, keputusan itu mengambil kira dua kemungkinan iaitu menyertai parti politik sedia ada atau menubuhkan parti baharu di bawah agenda ‘Rumah Baharu’.

Pada 13 Februari lalu, BERSATU dilaporkan memecat 17 ahli termasuk beberapa pemimpin Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu, membabitkan empat Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Selain Hamzah, turut dipecat ialah Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad; Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan serta Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.

Ditanya sama ada BN akan menetapkan syarat sekiranya kumpulan berkenaan mahu menyertai gabungan itu, Zambry yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menyifatkan perkara berkenaan sebagai hipotetikal.

Beliau menegaskan, BN ketika ini tidak berhasrat untuk memulakan sebarang inisiatif mendekati atau mengajak kumpulan pemimpin terbabit menyertai gabungan itu.

“Takkanlah kita yang mahu memulakan. Ini urusan mereka, biarlah mereka selesaikan masalah berbangkit terlebih dahulu dan tentunya mereka ada penyelesaian tersendiri.

“Apabila ia berlaku nanti, kita akan menjawabnya kelak,” katanya.

+ - reset