TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Wisma Putra jamin bantuan konsular kepada rakyat Malaysia di Iran

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 27 Feb – Kementerian Luar Negeri Malaysia (Wisma Putra) memberi jaminan perkhidmatan dan bantuan konsular akan terus disalurkan kepada rakyat Malaysia di Iran yang memilih untuk kekal berada di negara itu atas kerelaan sendiri.

Dalam satu pemakluman media hari ini, Wisma Putra memaklumkan pihaknya sentiasa memantau kesejahteraan rakyat Malaysia susulan perkembangan situasi semasa di lapangan dengan fokus utama terhadap aspek keselamatan dan kebajikan konsular.

“Kementerian sudah mengambil maklum minat pihak media untuk menghubungi individu terbabit.

“Bagaimanapun, bagi menghormati privasi dan keputusan peribadi mereka serta selaras dengan prinsip perlindungan data peribadi, kementerian tidak dapat mendedahkan maklumat peribadi, berkongsi butiran kenalan atau mengaturkan sebarang sesi libat urus antara pihak media dan rakyat terbabit,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Menteri Luar, Mohamad Hasan berkata, seramai 13 rakyat Malaysia masih berada di Iran dan memilih untuk tidak pulang ke tanah air.

Beliau berkata, semua mereka termasuk pelajar sudah diberikan nasihat beberapa kali supaya pulang dan kerajaan turut meminta mereka menandatangani surat indemniti yang menyatakan keputusan itu dibuat atas kerelaan sendiri.

Dalam pada itu, Wisma Putra mengulangi nasihat terdahulu seperti terkandung dalam Pemakluman Media bertarikh 5 Februari lalu yang masih berkuat kuasa, iaitu rakyat Malaysia dinasihatkan menangguhkan semua perjalanan tidak penting ke Iran buat masa ini.

Mereka yang berada di negara berkenaan disaran mempertimbangkan aturan perjalanan sewajarnya melalui perkhidmatan komersial sedia ada serta sentiasa berwaspada, mengelakkan kawasan perhimpunan awam berskala besar dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

Bagi bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Bahagian Konsular, Kementerian Luar Negeri di talian +603-8887 4597 / +603-8887 4769 / +603-8887 4264 atau e-mel bkrm@kln.gov.my.

Talian kecemasan luar waktu pejabat pula boleh dihubungi di +603-8887 4570 atau melalui e-mel dutyofficer@kln.gov.my.

+ - reset