TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tak boleh ambil dividen akaun lain ke akaun 3 - KWSP

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 28 Feb – Dividen yang diisytiharkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu dikreditkan ke dalam akaun masing-masing selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, di bawah Akta KWSP ketika ini, dividen tidak boleh dipindahkan merentasi akaun.

“Di bawah Akta KWSP sedia ada, dividen mesti dikreditkan ke akaun yang betul.

“Jika simpanan berada dalam Akaun 1 atau Akaun 2, dividen mesti dimasukkan ke dalam akaun tersebut.

“Kami tidak boleh mengambil dividen daripada akaun lain dan menyalurkannya ke Akaun 3,” katanya dalam taklimat media berhubung pengumuman dividen hari ini.

Menurut beliau, pembayaran dividen dikira berdasarkan baki dalam setiap akaun.

“Jika seseorang mempunyai simpanan dalam ketiga-tiga akaun, dividen atau pulangan akan dikira berdasarkan baki dalam setiap akaun tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan sekiranya ahli telah membuat pengeluaran sehingga tiada baki dalam sesuatu akaun, akaun itu tidak akan menerima dividen.

“Jika ada baki dalam Akaun 2, dividen akan dimasukkan ke Akaun 2. Jika ada baki dalam Akaun 1, dividen akan dimasukkan ke Akaun 1.

“Namun, jika wang dalam Akaun 3 telah dikeluarkan sepenuhnya dan tiada baki, maka akaun itu tidak akan menerima dividen,” katanya.

Penjelasan itu susulan cadangan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang menggesa supaya semua dividen KWSP disalurkan ke Akaun Fleksibel (Akaun 3) bagi membantu rakyat membuat persediaan menyambut Hari Raya.

Sebelum ini, KWSP mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.15 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah membabitkan jumlah agihan keseluruhan RM79.6 bilion.

+ - reset