TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dua lelaki larikan diri, rempuh kenderaan awam di Jalan Cheras

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 28 Feb – Tindakan dua lelaki memecut kenderaan bagi mengelak pemeriksaan polis berakhir dengan pelanggaran beberapa kenderaan awam dalam kejadian di Jalan Cheras berhampiran Sunway Velocity Mall, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 12.32 tengah hari.

Menurut beliau, kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi ketika anggota polis menjalankan rondaan cegah jenayah sebelum terserempak dengan sebuah Honda Civic dalam keadaan mencurigakan di parkir tepi Jalan Nicholas.

“Anggota polis telah menghampiri kenderaan tersebut untuk tujuan pemeriksaan, namun secara tiba-tiba pemandunya memecut laju ke arah persimpangan lampu isyarat Jalan Cheras.

“Kenderaan itu kemudian melanggar beberapa buah kenderaan awam yang sedang berhenti di lampu isyarat sebelum dua lelaki yang berada di dalamnya keluar dan melarikan diri dengan meninggalkan kereta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan berkenaan tidak menemui sebarang barangan salah.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 307 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan, manakala siasatan trafik dijalankan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis kini sedang giat mengesan kedua-dua suspek,” ujarnya.

+ - reset