TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KWSP umum dividen 6.15 peratus bagi simpanan konvensional, syariah

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 28 Feb – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen 6.15 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

Pengumuman itu melibatkan jumlah agihan sebanyak RM79.6 bilion, terdiri daripada RM67.1 bilion untuk akaun konvensional dan RM12.5 bilion bagi Simpanan Syariah.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, bagi tahun kewangan 2025, KWSP merekodkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM82.7 bilion, meningkat 9.5 peratus berbanding RM75.5 bilion pada 2024.

Menurutnya, aset pelaburan turut berkembang kepada RM1,409 bilion, naik 12.8 peratus daripada RM1,250 bilion sebelum ini, didorong oleh pendapatan portfolio dan caruman bersih sebanyak RM66.5 bilion.

Pengerusi KWSP, Mohd Zuki Ali berkata, prestasi memberangsangkan itu dicapai walaupun 2025 merupakan tahun yang mencabar dengan ketidaktentuan dasar perdagangan global.

“Pasaran ekuiti yang berdaya tahan menjadi pemacu utama pendapatan KWSP, disokong pulangan stabil daripada pendapatan tetap serta kepelbagaian portfolio yang kukuh.

“Keputusan ini mencerminkan pendekatan jangka panjang kami dalam melindungi simpanan ahli sambil memberikan pulangan yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan.

KWSP turut memaklumkan ekonomi global kekal berdaya tahan pada 2025 meskipun berdepan ketegangan perdagangan dan geopolitik, manakala inflasi yang semakin sederhana membolehkan bank pusat utama mula melonggarkan dasar monetari.

Ekonomi Malaysia pula berkembang 5.2 peratus pada 2025, disokong permintaan domestik yang stabil dan eksport yang kekal kukuh, selain pelarasan kadar dasar semalaman oleh Bank Negara Malaysia kepada 2.75 peratus yang membantu momentum pertumbuhan.

Menurut Mohd Zuki, portfolio pelaburan yang pelbagai merentasi kelas aset dan pasaran, berpandukan peruntukan aset strategik, membolehkan KWSP mengharungi turun naik pasaran termasuk ketika memuncak pada suku kedua susulan pengumuman tarif import timbal balik oleh Amerika Syarikat.

Beliau menegaskan, pengurusan risiko berdisiplin dan strategi pelaburan jangka panjang kekal menjadi kunci dalam mengekalkan daya tahan serta memastikan pulangan konsisten kepada ahli.

+ - reset