TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

HRD Corp perkukuh barisan ahli lembaga pengarah, lima tokoh berprofil tinggi termasuk bos Mydin dilantik

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 27 Feb – Human Resource Development Corporation (HRD Corp) melantik lima tokoh nasional menganggotai Lembaga Pengarahnya bagi memperkukuh tadbir urus, akauntabiliti dan prestasi dalam pengurusan mandat pembangunan tenaga kerja negara.

Pelantikan berkuat kuasa 6 Februari 2026 itu adalah sebahagian daripada usaha pengukuhan institusi berterusan HRD Corp bagi memastikan dana levi yang diamanahkan majikan diurus secara berintegriti, telus dan memberi impak terukur.

Sijil pelantikan disampaikan oleh Menteri Sumber Manusia, Ramanan Ramakrishnan di Wisma HRD Corp, baru-baru ini.

Lima tokoh yang dilantik ialah:

  1. Datuk Wira (Dr.) Haji Ameer Ali bin Mydin, Pengarah Urusan MYDIN dan tokoh utama dalam ekosistem peruncitan negara;

  2. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohd Azmi bin Omar, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INCEIF University serta pakar kewangan Islam bertaraf antarabangsa;

  3. Muhammad Akmar bin Dato’ Kasim, pemimpin korporat berpengalaman luas dalam sektor pembuatan dan pasaran eksport;

  4. Ir. Parameswaran a/l A. Shanmuganathan, bekas pemimpin kanan Tenaga Nasional Berhad dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam transformasi utiliti; dan

  5. Datuk Rusli bin Jaafar, bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Ketua Eksekutif HRD Corp, Dato’ Shamir Aziz berkata, pengukuhan lembaga pengarah mencerminkan komitmen institusi itu dalam mengekalkan kepercayaan awam serta memastikan hasil yang nyata.

“HRD Corp memikul tanggungjawab nasional. Pengukuhan Lembaga Pengarah memastikan pemantauan berdisiplin dan tadbir urus berprinsip. Kami komited memastikan setiap sumbangan levi diterjemahkan kepada hasil pembangunan kemahiran yang sebenar untuk majikan dan pekerja Malaysia,” katanya.

Menurut HRD Corp, gabungan pengalaman luas dalam industri, kewangan, kejuruteraan, pembangunan perusahaan dan reformasi sektor awam oleh kelima-lima tokoh berkenaan akan memperkukuh keupayaan strategik serta kebebasan lembaga.

Dengan struktur kepimpinan yang diperkasa, HRD Corp kini berada pada fasa baharu pengukuhan institusi dan penyampaian prestasi, sekali gus memastikan inisiatif latihan nasional kekal relevan dengan keperluan industri, telus dan berorientasikan hasil.

HRD Corp, agensi pembangunan modal insan negara di bawah Kementerian Sumber Manusia, bertanggungjawab mengurus kutipan dan pentadbiran levi pembangunan sumber manusia menerusi Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) selaras Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001.

Institusi itu kekal komited memperkasa latihan, peningkatan kemahiran dan latihan semula yang responsif terhadap keperluan majikan, selaras aspirasi “MADANI Bekerja”.

+ - reset