TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pekerja pusat pemulihan dadah disyaki terima rasuah sebagai balasan bawa masuk barang terlarang untuk penghuni

By
|
Kongsi
image

 

KUALA TERENGGANU 2 Mac - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan reman seorang penjawat awam sebuah pusat pemulihan dadah di negeri ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM6,000 sebagai balasan membawa masuk barang terlarang untuk penghuni pusat berkenaan.

Perintah reman selama enam hari sehingga 7 Mac terhadap suspek wanita berusia lingkungan 30-an itu dikeluarkan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pagi tadi.

Menurut sumber, wanita berkenaan ditahan bersama seorang lagi suspek lelaki berusia lewat 40-an yang juga penjawat awam dan bertugas di pusat sama pada jam 12.30 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu.

Bagaimanapun, suspek lelaki dilepaskan dengan jaminan SPRM hari ini atas faktor kesihatan.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan itu secara berasingan antara September 2024 hingga Januari 2025 dengan meminta serta menerima wang rasuah daripada keluarga penghuni pusat pemulihan terbabit.

Mereka dipercayai menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan ke akaun bank peribadi masing-masing serta akaun pihak ketiga.

Modus operandi yang digunakan adalah dengan membawa masuk barang terlarang ke pusat berkenaan melalui pembekalan makanan tengah hari.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Menurut beliau, siasatan menyeluruh akan diteruskan bagi mengenal pasti sekiranya terdapat individu lain yang turut terbabit dalam kegiatan berkenaan.

+ - reset