TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan tak benarkan majikan langgar undang-undang buruh gajikan pekerja asing - Ramanan 

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 3 Mac - Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memberi amaran tegas bahawa mana-mana majikan yang mempunyai rekod pelanggaran undang-undang perburuhan, ingkar perintah mahkamah atau pernah disabitkan kesalahan berkaitan buruh paksa tidak akan dibenarkan menggajikan pekerja asing.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, berkata kerajaan memandang serius sebarang bentuk penindasan terhadap pekerja, terutama golongan rentan seperti pekerja migran, khususnya yang berkait penahanan pasport oleh majikan dan isu gaji tidak dibayar.

Katanya, bagi membasmi perbuatan ini, KESUMA sudah dan sedang mengambil langkah-langkah proaktif bagi memastikan perlindungan pekerja asing diperkukuh.

"Dalam hal ini, kerajaan mengenakan syarat kelulusan penggajian yang ketat di bawah seksyen 60K Akta Kerja 1955 (Akta 265) termasuk pendakwaan terhadap majikan yang melanggar peruntukan akta berkenaan.

"Selain itu, kerajaan turut memperkukuh penguatkuasaan undang-undang melalui pemeriksaan dan pemantauan berfokus oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) serta tindakan tegas," katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.

Ramanan menjawab soalan Ahli Parlimen Selayang, William Leong mengenai langkah-langkah semasa yang sudah dan sedang dijalankan oleh kementerian bagi membasmi amalan penderaan pekerja migran khususnya yang berkait penahanan pasport atau dokumen pengenalan oleh majikan serta isu gaji tidak dibayar dan tahap keberkesanan langkah-langkah itu.

Pekerja asing boleh terus mengadu menerusi e-Aduan

Mengulas lanjut, Ramanan berkata, kerajaan menyediakan mekanisme aduan yang mudah diakses iaitu melalui aplikasi e-Aduan di bawah ePPAx, pekerja asing boleh menyalurkan aduan secara terus kepada JTK tanpa melalui orang tengah.

"Seterusnya dari aspek perlindungan sosial, pekerja asing diwajibkan dilindungi di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), iaitu bagi Skim Bencana Kerja dan Skim Keilatan Pekerja Asing yang memberikan perlindungan menyeluruh terhadap kemalangan, keuzuran dan kematian.

"KESUMA turut melaksanakan Pelan Tindakan Nasional Mengenai Buruh Paksa (2021-2025) sebagai komitmen untuk membanteras amalan buruh paksa melalui pendekatan pencegahan, perlindungan, dan pendakwaan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan memastikan keperluan pekerja asing dalam industri sentiasa dioptimumkan supaya kelangsungan perniagaan dapat diteruskan.

"Namun begitu, keperluan ini akan berlandaskan kepada prinsip keutamaan kepada pekerja tempatan, pematuhan undang-undang perburuhan dan konsep penawaran dan permintaan mengikut kuota yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya.

+ - reset