TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PM tamat tempoh berkhidmat boleh terus jadi wakil rakyat, dilantik menteri - Azalina

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 2 Mac – Seorang Perdana Menteri yang mencapai had maksimum 10 tahun perkhidmatan masih boleh terus berperanan sebagai wakil rakyat atau dilantik ke jawatan lain dalam Jemaah Menteri sekiranya pengalaman dan kepakarannya masih diperlukan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata langkah itu memastikan kesinambungan pengalaman kepimpinan walaupun berlaku pertukaran kepimpinan tertinggi kerajaan secara berinstitusi.

“Sekiranya seorang Perdana Menteri sudah berkhidmat dengan cemerlang sepanjang tempoh maksimum itu, pengalaman dan kepakarannya tidak terhenti daripada menyumbang kepada negara.

“Beliau boleh terus berkhidmat sebagai Ahli Dewan Rakyat atau dilantik ke jawatan lain dalam Jemaah Menteri seperti menteri kanan. Dengan kata lain, rakyat menentukan kerajaan melalui pilihan raya, sementara Perlembagaan menentukan batas kuasa individu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Azalina, cadangan pindaan itu memberi tumpuan khusus kepada kedudukan Perdana Menteri sebagai ketua eksekutif yang menyelaras dan memimpin keseluruhan Jemaah Menteri.

Mengulas isu pemegangan portfolio tambahan termasuk kewangan oleh Perdana Menteri, beliau berkata perkara tersebut adalah soal pentadbiran yang tertakluk kepada Perkara 43(2)(b) Perlembagaan Persekutuan serta budi bicara pelantikan dalam kerangka perlembagaan.

“Ia bukan sebahagian objektif pindaan ini yang bertujuan memperkukuh struktur institusi melalui had masa yang jelas terhadap jawatan tertinggi eksekutif, bukan melalui pengkhususan atau pengasingan portfolio.

“Pemegangan portfolio tambahan oleh ketua kerajaan bukanlah amalan luar biasa dan turut wujud di beberapa negeri termasuk di bawah pentadbiran pembangkang, sebagai contoh Ketua Menteri atau Menteri Besar yang memegang portfolio kewangan.

“Justeru, soal pengasingan portfolio bukan satu prinsip perlembagaan yang ditetapkan secara mutlak, sebaliknya pertimbangan pentadbiran semasa atau keputusan dasar,” katanya.

Beliau menegaskan RUU tersebut memberi tumpuan kepada reformasi asas dan berimpak jangka panjang iaitu menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri bagi mengelakkan penumpuan kuasa terlalu lama pada satu individu serta memperkukuh institusi negara.

+ - reset