TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Empat suspek curi tabung Masjid Seksyen 7 didakwa esok

By
|
Kongsi
image

 

SHAH ALAM 2 Mac – Empat lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes kecurian tabung Masjid Seksyen 7, di sini, akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, esok.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya telah menerima arahan untuk menuduh kesemua suspek mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati perbuatan itu bermotifkan kecurian susulan desakan kewangan.

“Dalam kejadian itu, kerugian dianggarkan sebanyak RM450. Ini kerana aktiviti infaq dan sumbangan tabung masjid berkenaan kebanyakannya menggunakan kaedah transaksi pembayaran respons pantas (QR).

“Ini juga merupakan satu inisiatif yang baik daripada pihak masjid,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan polis mengesan sekumpulan empat lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian kecurian tabung masjid tersebut pada 22 Februari lalu.

Susulan itu, operasi dijalankan pada 22 dan 24 Februari berjaya menahan empat lelaki warga tempatan berusia antara 17 hingga 26 tahun.

Semakan lanjut mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Seorang daripada mereka turut didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini menzahirkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada pasukan Polis Selangor atas tindakan pantas serta berkesan dalam menahan suspek kes berkenaan.

+ - reset