Berita Berita
Tak cukup dua 2 undi, RUU had tempoh 10 tahun jawatan PM gagal peroleh sokongan dua pertiga
KUALA LUMPUR 3 Mac - Cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun tidak mendapat perkenan Dewan Rakyat hari ini apabila Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 gagal memperoleh majoriti dua pertiga yang diperlukan.
RUU itu hanya meraih sokongan 146 Ahli Parlimen, manakala 44 Ahli Parlimen berkecuali dan 32 lagi tidak hadir ketika undi belah bahagian dijalankan.
Keputusan tersebut diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, selepas seramai 41 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan.
Sebarang pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan memerlukan sekurang-kurangnya 148 sokongan Ahli Parlimen bagi membolehkan ia diluluskan.
Kegagalan itu menyaksikan RUU yang membabitkan pindaan kepada Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan tidak dapat dibawa ke peringkat bacaan kali ketiga untuk diluluskan.
RUU berkenaan sebelum ini dibentangkan bagi bacaan kali pertama minggu lalu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua hari ini sebelum sesi perbahasan berlangsung.
Perkembangan berkenaan turut menimbulkan persoalan terhadap nasib satu lagi RUU pindaan penting yang dijadual dibentangkan esok, iaitu berkaitan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, yang turut memerlukan sokongan dua pertiga Ahli Parlimen.
Azalina ketika menggulung RUU itu menegaskan, pindaan ini dirangka dan dibentangkan sepenuhnya dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan dengan penghormatan yang tidak berbelah bagi terhadap institusi Raja-Raja.
Katanya, perlembagaan sendiri sudah diperuntukkan secara jelas kategori pindaan yang memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja di bawah Perkara 1595 dan Perkara 38(4).
"Pindaan ini tidak termasuk dalam mana-mana kategori itu dan tidak menyentuh kedaulatan prerogatif atau kedudukan Raja-Raja. Justeru itu, kerajaan bertindak selaras dengan prosedur ditetapkan oleh Perlembagaan iaitu melalui mekanisme Perkara 159(3)," katanya.
Beliau berkata, menetapkan had tempoh tidak menyentuh prerogatif baginda, sebaliknya mentakrifkan parameter kelayakan individu yang boleh dipertimbangkan, justeru tidak timbul soal mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong.
"Ia soal memperkemaskan prinsip akauntabiliti dalam jawatan eksekutif tertinggi tanpa mengubah struktur pelantikan. Kuasa melantik kekal kepada baginda. Sokongan majoriti kekal pada Dewan Rakyat. Had tempoh hanya menentukan bahawa kuasa itu tidak boleh dipegang tanpa batas.
"Had 10 tahun dipilih kerana ia ukuran masa yang objektif, seragam dan selaras dengan struktur perlembagaan yang tidak mengikat jawatan Perdana Menteri kepada penggal tetap memandangkan Parlimen boleh digubal lebih masa.
"Pendekatan ini mengelakkan ketidakpastian tafsiran mengenai penggal di samping mengekal ruang yang mencukupi untuk kesinambungan dasar dan kestabilan pentadbiran tanpa membenarkan penumpuan kuasa yang terlalu lama," katanya.
Katanya, pindaan kepada Perkara 43 berhubung had tempoh jawatan Perdana Menteri juga tidak menyentuh mana-mana perkara dinyatakan di bawah Perkara 159(5), Perkara 70, Perkara 71, Perkara 72(4), Perkara 152 serta Perkara 153.
"Ia ada antara lain tidak mengubah keutamaan Raja-Raja. Tidak menjejaskan jaminan Perlembagaan Negeri. Tidak menyentuh Bahasa Kebangsaan. Tidak menyentuh Perkara 153 dan tidak melibatkan kewarganegaraan.
"Oleh itu dari sudut teks yang nyata, pindaan ini tidak termasuk dalam lingkungan Perkara 159(5). Pindaan had tempoh jawatan Perdana Menteri adalah mengenai kelayakan dan tempoh memegang jawatan dalam cabang eksekutif. Ia tidak mengubah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
"Tidak meminda kuasa pelantikan di bawah (Perkara) 43(2)(a) dan tidak menjejaskan budi bicara baginda di bawah Perkara 42(a). Oleh itu ia tidak jatuh dalam ruang lingkup Perkara 38(4)," katanya.
Terdahulu Anwar ketika membentangkan RUU berkenaan untuk bacaan kali kedua berkata cadangan pindaan RUU terbabit tidak mengubah asas demokrasi berparlimen dan tidak menjejaskan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Cadangan pindaan itu, katanya yang dirangka selaras dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan tidak mengurangkan peranan Dewan Rakyat dalam menentukan kepercayaan kepada kerajaan.
Sebaliknya, cadangan itu, kata Perdana Menteri, memperkukuh struktur perlembagaan melalui satu peruntukan yang jelas bagi mengukuhkan sistem semak dan imbang negara.
Berita berkaitan
March 3, 2026, 10:32 am
23 sekeluarga hilang tempat tinggal, empat rumah rentung dalam kebakaran di Tanjung Tokong
March 3, 2026, 10:22 am
Kerajaan tak benarkan majikan langgar undang-undang buruh gajikan pekerja asing - Ramanan
March 2, 2026, 7:13 pm
PM tamat tempoh berkhidmat boleh terus jadi wakil rakyat, dilantik menteri - Azalina
March 2, 2026, 7:01 pm
Penuntut IPT didakwa pijak al-Quran berdepan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuantan esok
March 2, 2026, 3:50 pm
Empat suspek curi tabung Masjid Seksyen 7 didakwa esok
March 2, 2026, 3:13 pm
