Berita Berita
23 sekeluarga hilang tempat tinggal, empat rumah rentung dalam kebakaran di Tanjung Tokong
GEORGETOWN 3 Mac - Seramai 23 individu daripada beberapa keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas empat rumah setinggan di Tanjung Tokong, Tanjung Bungah, di sini musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Dalam kejadian itu, kesemua mangsa dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan walaupun kebakaran menyebabkan kemusnahan besar terhadap kediaman terbabit.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.14 pagi.
Menurutnya, operasi pemadaman membabitkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal dengan bantuan BBP Lebuh Pantai dan BBP Jalan Perak, melibatkan keseluruhan 26 anggota.
"Kebakaran membabitkan empat rumah setinggan kelas C dengan peratusan kemusnahan sehingga 80 dan 90 peratus," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut, John berkata kebakaran itu turut melibatkan sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang dianggarkan musnah kira-kira 90 peratus.
Katanya, dua daripada kediaman terbabit dihuni warga tempatan manakala dua lagi didiami etnik Rohingya.
"Api berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 6 pagi dan pemeriksaan semula turut dijalankan bagi memastikan punca api dipadam sepenuhnya.
"Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Berita berkaitan
March 3, 2026, 10:22 am
Kerajaan tak benarkan majikan langgar undang-undang buruh gajikan pekerja asing - Ramanan
March 3, 2026, 9:54 am
Tak cukup dua 2 undi, RUU had tempoh 10 tahun jawatan PM gagal peroleh sokongan dua pertiga
March 2, 2026, 7:13 pm
PM tamat tempoh berkhidmat boleh terus jadi wakil rakyat, dilantik menteri - Azalina
March 2, 2026, 7:01 pm
Penuntut IPT didakwa pijak al-Quran berdepan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuantan esok
March 2, 2026, 3:50 pm
Empat suspek curi tabung Masjid Seksyen 7 didakwa esok
March 2, 2026, 3:13 pm
