TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hamzah Zainudin kekal ketua pembangkang, Dewan Rakyat belum terima surat PN

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 3 Mac – Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul memaklumkan beliau masih belum menerima sebarang surat rasmi daripada Perikatan Nasional (PN) berhubung pelantikan Ketua Pembangkang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menurutnya, selagi tiada pemakluman rasmi diterima, Hamzah kekal sebagai Ketua Pembangkang.

“Itu (khabar angin Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dicadang sebagai Ketua Pembangkang) bukan urusan dewan. Itu urusan parti masing-masing yang saya tidak mahu campur.

“Selagi saya tidak dapat surat, maka YB Larut masih Ketua Pembangkang,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan RSN Rayer yang bangun meminta penjelasan berhubung status jawatan berkenaan.

Rayer mendakwa beliau mendengar khabar angin bahawa Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan dicadangkan untuk menggantikan Hamzah Zainudin.

“Saya dengar khabar angin bahawa Kota Bharu telah dicadangkan. Cuma saya nak tanya penjelasan, sudah terima atau belum terima lagi (pemakluman),” katanya.

Sebelum ini, Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilaporkan memecat keahlian Hamzah atas dakwaan melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti.

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin sebelum ini dilaporkan berkata PAS perlu segera menamakan calon mewakili parti itu untuk menggantikan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang.

Menurut Muhyiddin, langkah itu penting bagi memastikan isu berkaitan jawatan Ketua Pembangkang dapat diselesaikan segera sekali gus mengelakkan ia menjejaskan imej PN.

+ - reset