Berita Berita
Fenomena bulan berdarah boleh disaksikan petang ini
KUALA LUMPUR 3 Mac – Orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena ‘bulan berdarah’ susulan kejadian gerhana bulan penuh yang berlaku petang ini.
Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) memaklumkan fenomena itu hanya berlaku sekali pada tahun ini, manakala gerhana bulan seterusnya dijangka berlaku pada 31 Disember 2028.
Menurut MYSA, gerhana bulan fasa separa (U1) bermula pada jam 5.50 petang sebelum memasuki fasa penuh (U2) pada 7.04 petang, dengan kemuncak gerhana (GE) pada 7.33 malam.
“Fasa penuh akan tamat pada jam 8.02 malam dan seterusnya memasuki kembali fasa separa (U3) sehingga jam 9 malam,” menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook hari ini.
Fenomena gerhana bulan berlaku apabila bumi berada di antara matahari dan bulan sehingga bayang-bayang bumi menutupi keseluruhan permukaan bulan, sekali gus menyebabkan ia kelihatan kemerahan.
MYSA memaklumkan tempoh keseluruhan gerhana mengambil masa lima jam 39 minit, manakala fasa penuh berlangsung hampir 58 minit.
Bagi kebanyakan negeri di Semenanjung, bulan akan terbit ketika fasa penuh dan berkemungkinan sukar dilihat berikutan keadaan langit senja yang masih agak terang.
“Bagi Kuala Lumpur, ketinggian bulan berada pada dua darjah dari ufuk timur ketika kemuncak gerhana.
“Sabah dan Sarawak mempunyai peluang lebih tinggi untuk mencerap fenomena ini kerana bulan terbit lebih awal dan berada pada sudut lebih tinggi,” menurut kenyataan itu.
Gerhana penuh kali ini turut boleh disaksikan di Asia Timur, Australia, Lautan Pasifik, Amerika Utara dan Amerika Tengah, manakala Asia Tengah serta sebahagian besar Amerika Selatan hanya mengalami gerhana bulan separa.
Fenomena gerhana bulan boleh dilihat dengan mata kasar bergantung kepada keadaan cuaca, namun penggunaan binokular atau teleskop dapat membantu pemerhatian yang lebih jelas.
Berita berkaitan
March 3, 2026, 7:25 pm
Kes pelajar pijak al-Quran: 'Saya sendiri saksi syahadahnya' - Firdaus Wong
March 3, 2026, 6:26 pm
Kejut sahur hingga ganggu orang tidur bukan ajaran Islam
March 3, 2026, 5:51 pm
Dua kakitangan Farm Fresh terbabit dalam nahas helikopter di Filipina
March 3, 2026, 4:21 pm
Perempuan pun nak curi kabel, tiga sekawan didenda RM5,000 mengaku salah curi kabel TM
March 3, 2026, 2:38 pm
Bakal pengantin didenda RM2,000 gara-gara simpan gambar lucah dalam telefon bimbit
March 3, 2026, 2:20 pm
Fi lesen gim di Kuala Lumpur turun 80 peratus, perkasa agenda bandar sihat – Hannah Yeoh
March 3, 2026, 1:48 pm
