Berita Berita
Juruteknik berdepan hukuman penjara 170 tahun, mengaku bersalah cabul, rakam video seks kanak-kanak
JOHOR BAHRU 4 Mac - Seorang juruteknik hari ini menukar pengakuan kepada bersalah terhadap tujuh pertuduhan amang seksual dan menghasilkan bahan penganiayaan seksual tiga kanak-kanak berusia lima hingga tujuh tahun, dua tahun lalu.
Ketika didakwa kali pertama di mahkamah sama pada 19 Disember tahun lalu, Muhammad Imran Abdullah, 29, mengaku tidak bersalah.
Tertuduh didakwa atas empat pertuduhan melakukan amang fizikal, masing-masing satu pertuduhan membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun tiga bulan dan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dua bulan serta dua pertuduhan membabitkan mangsa seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.
Muhammad Imran yang diwakili peguam, Mohamed Imran Mohamed Sam dan Amar Ajwad Kalki, dituduh mengikut Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat.
Bagi tiga pertuduhan menghasilkan bahan penganiayaan seksual pula, dia mengaku salah merakam video ketiga-tiga mangsa yang sama dalam keadaan terdedah dan didakwa mengikut Seksyen 5 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sehingga enam kali sebat.
Juruteknik berkenaan dituduh melakukan kesemua jenayah itu dalam bilik tidur dan tepi rumah di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, dekat sini, antara jam 10.30 pagi hingga 11 pagi 5 April 2024. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Fadilah Johanuddin dan Nur Farah Wahida Shahudin.
Terdahulu pada 27 Februari lalu, Muhammad Imran juga menukar pengakuan kepada bersalah di mahkamah sama atas tiga pertuduhan memperdagangkan tiga bayi baru lahir berusia lima hingga tujuh hari, dua tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lima tahun hingga seumur hidup dan boleh dihukum sebat.
Mahkamah menetapkan 13 Mac depan untuk mendengar fakta kes dan penjatuhan hukuman, sama dengan tarikh ditetapkan untuk prosiding sama membabitkan kes memperdagangkan bayi.
Berita berkaitan
March 4, 2026, 7:03 pm
12.5 juta rakyat terima manfaat SARA, perbelanjaan cecah RM1 bilion dalam dalam tiga minggu
March 4, 2026, 6:34 pm
Tengku Zafrul dilantik Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri berkuat kuasa hari ini
March 4, 2026, 3:46 pm
Ops terjah kuil Hindu: 'Jangan buat huru-hara, hentikan provokasi' - Steven Sim
March 4, 2026, 2:58 pm
Ops Middleman: SPRM sita aset RM7.7 juta, beku akaun
March 4, 2026, 2:23 pm
29,000 rakyat Malaysia terjejas di Timur Tengah, paling ramai di UAE
March 4, 2026, 1:42 pm
Seorang anak Tun Daim hubungi SPRM bantu siasatan Op Godfather
March 4, 2026, 1:17 pm
