TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

12.5 juta rakyat terima manfaat SARA, perbelanjaan cecah RM1 bilion dalam dalam tiga minggu

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 4 Mac - Lebih 12.5 juta rakyat Malaysia telah memanfaatkan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk Semua dengan nilai perbelanjaan melebihi RM1 bilion bagi pembelian barangan keperluan asas dalam tempoh hanya tiga minggu sejak dilancarkan.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, kejayaan program itu membuktikan hasil penjimatan daripada pengurusan kewangan negara yang lebih berdisiplin kini dapat disalurkan terus kepada rakyat.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, SARA untuk Semua adalah hasil penjimatan yang dicapai menerusi penstrukturan semula kewangan negara.

“Ketirisan ditutup, tatakelola diperkemas dan hasil yang dijimatkan dipulangkan kepada rakyat. Ini membuktikan bahawa apabila hasil negara diagih secara saksama, manfaatnya dirasai oleh isi rumah di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan Malaysia (MoF), hari ini.

MoF memaklumkan, jualan pada hari pertama pelaksanaan SARA untuk Semua tahun ini mencecah RM97 juta, hampir dua kali ganda berbanding RM50.7 juta yang direkodkan pada hari pertama tahun lalu.

Dalam kenyataan sama, Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan berkata, MoF memastikan kelancaran sistem bagi mengelak sebarang gangguan kepada pengalaman pembelian rakyat.

“Daripada 3,782 transaksi seminit pada hari pertama pelaksanaan tahun lalu, sistem kini mampu memproses lebih daripada 11,000 transaksi seminit tanpa sebarang kelewatan atau gangguan,” katanya.

Menurut MoF, penggunaan MyKad sebagai medium pelaksanaan program itu memudahkan penyaluran serta penggunaan bantuan secara lebih cekap, selain memastikan proses agihan dilaksanakan secara teratur.

Setakat ini, sebanyak 56 peratus daripada kredit RM100 di bawah program berkenaan telah digunakan oleh penerima untuk pembelian barangan keperluan asas, manakala baki kredit masih sah digunakan sehingga 31 Disember ini.

Dari segi taburan geografi, kadar penggunaan SARA untuk Semua lebih tinggi di zon Borneo serta kawasan Pantai Timur dan utara Semenanjung.

Sabah mencatatkan kadar penebusan tertinggi sebanyak 70 peratus, diikuti Perlis (65 peratus), Kelantan dan Labuan masing-masing 64 peratus, Terengganu (63 peratus), Kedah (63 peratus), Sarawak (62 peratus) dan Pahang (60 peratus).

MoF memaklumkan program itu bukan sahaja membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup, malah menyokong aktiviti ekonomi setempat khususnya di peringkat komuniti.

Rangkaian Rakan Niaga SARA kini merangkumi lebih 4,400 kedai runcit kecil di seluruh negara selain pasar raya sedia ada, menjadikan jumlah keseluruhan premis yang menerima transaksi SARA melebihi 11,300 premis.

Kerajaan menyasarkan peningkatan bilangan kedai runcit kecil kepada 10,000 menjelang hujung tahun ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA mencecah 20,000 premis.

Langkah itu dijangka mampu mengurangkan jarak purata rakyat ke premis penerimaan SARA kepada sekitar tujuh kilometer berbanding kira-kira 10 kilometer ketika ini, sekali gus memudahkan akses rakyat untuk menggunakan bantuan berkenaan. 

+ - reset