TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kanak-kanak bawah 16 tahun tidak boleh buka akaun media sosial sendiri - Fahmi

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 4 Mac – Kanak-kanak berumur bawah 16 tahun tidak dibenarkan membuka akaun media sosial sendiri, namun akaun yang dikendalikan oleh ibu bapa bagi pihak anak-anak adalah dibenarkan, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, ketetapan itu bertujuan melindungi golongan bawah umur daripada risiko keselamatan dalam talian termasuk ancaman pemangsa siber yang berpotensi menghubungi kanak-kanak menerusi pelbagai platform media sosial.

“Isu utamanya ialah siapa yang mengawal akaun tersebut... kita tidak mahu anak-anak yang mengawal akaun itu sendiri... kalau akaun itu dibuka oleh ibu bapa, sekurang-kurangnya mereka boleh tahu kalau ada individu yang tidak dikenali berhubung dengan anak mereka,” katanya pada sidang media Program Sejahtera MADANI Kebajikan: Sumbangan Ihsan Kasih Ramadan 2026 di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Wilayah Persekutuan (ICU JPM Wilayah), Megat Azlani Megat Ramli; Pengurus Cawangan Jalan TAR, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Fadhil Adnan; warga ICU JPM Wilayah serta komuniti setempat Lembah Pantai.

Fahmi berkata, kerajaan kini melaksanakan regulatory sandbox atau medan uji bersama platform media sosial bagi mengenakan sekatan umur 16 tahun untuk pendaftaran akaun baharu.

Menurutnya, pendekatan Malaysia berbeza daripada Model Age Assurance yang digunakan di Australia kerana negara ini akan memanfaatkan perundangan khusus berkaitan MyKad sebagai elemen keselamatan tambahan untuk pengesahan identiti dan umur pengguna.

“Anak-anak masih dibenarkan menonton kandungan seperti di YouTube... cuma mereka tidak boleh membuka akaun sendiri,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya lebih prihatin terhadap aktiviti digital anak-anak dan tidak membiarkan mereka menggunakan peranti tanpa pengawasan dalam tempoh terlalu lama.

“Peranti bukan pengasuh. Ibu bapa ada tanggungjawab juga,” katanya.

Dalam perkembangan sama, program yang dilaksanakan dengan kerjasama strategik ICU JPM Wilayah Persekutuan dan Bank Muamalat Malaysia Berhad itu turut menyaksikan penyerahan sumbangan RM500 kepada 150 warga asnaf yang berdaftar di bawah sistem eKasih di Parlimen Lembah Pantai.

Beliau berkata, inisiatif tersebut selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat supaya tiada golongan tercicir daripada arus pembangunan negara. – BERNAMA

+ - reset