TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Peningkatan isu 3R, kerajaan digesa pertimbang semula undang-undang keselamatan lebih tegas

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 10 Mac – Peningkatan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R) kebelakangan ini mendorong Majlis Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima) menggesa kerajaan mempertimbangkan semula keperluan mewujudkan undang-undang keselamatan yang lebih tegas.

Ia termasuk menilai semula Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) yang pernah dimansuhkan sebelum ini.

Presidennya, Datuk Sivakumar Nadarajah berkata, tindakan tegas perlu dipertimbangkan memandangkan isu sensitif kini semakin kerap dimanipulasi oleh pihak tertentu sehingga mencetuskan keresahan awam dan berpotensi menggugat keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Menurutnya, pelbagai insiden yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama kini mudah tular di media sosial dan sering dipergunakan oleh individu atau kumpulan tertentu bagi kepentingan sempit sehingga berisiko mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama.

“Dalam keadaan semasa yang menyaksikan peningkatan penyalahgunaan isu sensitif serta ancaman terhadap keamanan dan kestabilan negara dengan begitu drastik sekali, ramai juga rasa diri mereka ‘kebal’ undang-undang.

“Mahima berpendapat satu mekanisme perundangan yang lebih kukuh perlu dipertimbangkan bagi memastikan pihak yang mengancam keselamatan negara dapat dikenakan tindakan tegas,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Sivakumar, cadangan untuk mengkaji semula kewujudan akta keselamatan seperti ISA bukan bertujuan menindas mana-mana pihak, sebaliknya sebagai langkah pencegahan bagi memastikan keamanan, kestabilan serta keharmonian masyarakat majmuk di negara ini terus terpelihara.

Beliau berkata, mana-mana individu atau kumpulan yang sengaja mencetuskan provokasi, menyemarakkan kebencian antara kaum dan agama serta menggugat ketenteraman awam tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan tegas.

Sivakumar turut menggesa kerajaan supaya perkara itu dikaji secara menyeluruh dan dibincangkan secara terbuka di Parlimen bagi memastikan pendekatan seimbang dapat dicapai antara menjaga keselamatan negara serta menghormati prinsip keadilan dan hak asasi.

“Mahima tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang sengaja mengapi-apikan isu 3R sehingga menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.

“Keamanan, keharmonian dan kestabilan negara adalah tanggungjawab bersama semua pihak,” katanya.

+ - reset