TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Warga emas maut tertimbus tanah runtuh di belakang hotel

By
|
Kongsi
image

SANDAKAN 11 Mac – Seorang lelaki warga emas maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh ketika cuba menghidupkan set jana kuasa di belakang sebuah hotel di pusat bandar di sini, awal pagi tadi.

Mangsa, Agustine Frederick J. Lingam, 76, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat.

Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku ketika hujan lebat yang menyebabkan bekalan elektrik di hotel berkenaan terputus.

Mangsa yang juga pekerja di hotel tersebut dipercayai cuba menghidupkan set jana kuasa yang terletak di belakang bangunan bagi memulihkan bekalan elektrik, namun berlaku runtuhan tanah sehingga menyebabkan mangsa tertimbus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.39 pagi sebelum 10 anggota dihantar ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, pemeriksaan mendapati mangsa tertimbus separuh badan akibat runtuhan tanah.

“Kerja menyelamat dijalankan menggunakan peralatan bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap sebelum berjaya dikeluarkan pada jam 7.14 pagi.

“Pemeriksaan pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Tambahnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.19 pagi selepas pasukan bomba memastikan keadaan kawasan selamat dan tiada lagi risiko bahaya.

+ - reset