TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis buru lelaki patahkan cermin sisi kereta di Cheras

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 11 Mac – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang tular di media sosial susulan tindakannya mematahkan cermin sisi sebuah kereta dalam kejadian dipercayai berlaku di sekitar Cheras.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung rakaman tular itu pada pukul 8.40 malam tadi.

Menurutnya, video berkenaan memaparkan seorang individu mematahkan cermin sisi sebuah kereta yang dimuat naik ke aplikasi TikTok menerusi akaun @cyberjayaviral.

“Kes dipercayai berlaku di kawasan Cheras dan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihak polis kini masih menjalankan siasatan bagi mengesan suspek serta mengenal pasti pemilik kereta yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Dalam pada itu, katanya, polis turut mengenal pasti pemilik akaun TikTok berkenaan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membantu siasatan.

Terdahulu, tular satu rakaman di media sosial memaparkan seorang lelaki dipercayai pemandu sebuah Honda HR-V keluar dari kenderaannya sebelum merosakkan cermin sisi sebuah kereta lain dan kemudian beredar dari lokasi kejadian.

+ - reset