Berita Berita
Inspektor polis mengaku tidak bersalah terima dan minta rasuah RM5,300, tipu duit jaminan
KUALA TERENGGANU 12 Mac – Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima dan meminta rasuah serta menipu wang jaminan berjumlah RM5,300.
Tertuduh, Mohamad Syazuwan Jemaan, 32, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Syazuwan berdepan dua pertuduhan menerima rasuah RM300 dan meminta suapan RM4,000 daripada seorang wanita sebagai dorongan untuk membebaskan wanita berkenaan daripada tahanan reman polis pada 21 Januari lalu serta tidak menuduhnya di mahkamah atas kesalahan jenayah komersial.
Kedua-dua pertuduhan pindaan itu dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pindaan ketiga, tertuduh didakwa secara rasuah cuba memperoleh wang tunai RM4,000 daripada wanita sama sebagai dorongan untuk tidak mendakwanya atas kesalahan jenayah komersial.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun pada pukul 9 pagi, 26 Januari lalu; 5.20 petang, 3 Februari dan 2.15 petang, 5 Februari.
Selain itu, Mohamad Syazuwan turut didakwa memperdayakan seorang wanita supaya menyerahkan wang tunai RM1,000 sebagai wang jaminan bagi membebaskan adik perempuannya daripada tahanan reman polis, sedangkan tiada wang jaminan perlu dibayar untuk pembebasan tersebut.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan pindaan serta RM5,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Berita berkaitan
March 12, 2026, 8:51 pm
Menteri Agama arah JAWI siasat sepanduk guna terjemahan al-Quran sokong budaya songsang
March 12, 2026, 7:03 pm
Tiga maut termasuk bayi tujuh bulan dalam nahas dua kenderaan di Bukit Sentosa
March 12, 2026, 5:22 pm
Polis tahan remaja lelaki disyaki bunuh wanita dengan 14 tikaman di hotel
March 12, 2026, 3:53 pm
Dua 'pengasuh' taska kes kematian bayi tidak ikuti Kursus Asuhan PERMATA
March 12, 2026, 3:25 pm
'Banyak benda dah diatur' - Pulau Pinang teruskan rumah terbuka Aidilfitri secara sederhana
March 12, 2026, 2:47 pm
Trafik lebuh raya dijangka cecah 2.3 juta kenderaan sehari sempena Aidilfitri
March 12, 2026, 1:19 pm
TPM Ahmad Zahid hargai jasa Sathia menghiburkan rakyat Malaysia, hulur sumbangan ringan beban
March 12, 2026, 12:45 pm
Timbalan CEO SSM didakwa terima RM50,000 daripada anak Hamzah Zainudin tanpa balasan
March 12, 2026, 12:14 pm
