TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lepaskan ikan bandaraya ke sungai secara sengaja hukumnya haram

By
|
Kongsi
image

PETALING JAYA 13 Mac – Hukum melepaskan ikan bandaraya ke sungai dalam keadaan mengetahui risiko kemudaratannya adalah haram kerana boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem dan mendatangkan kerosakan kepada alam sekitar.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi penerangan dalam Bayan Linnas di laman web rasminya memaklumkan, kewujudan spesies itu secara berleluasa di sungai bercanggah dengan prinsip syarak yang menuntut manusia memelihara alam sekitar serta mengelakkan kerosakan di muka bumi.

“Perbuatan melepaskan ikan bandaraya ke dalam sungai secara berleluasa bercanggah dengan prinsip syarak yang menuntut manusia tidak melakukan kezaliman dan kerosakan di bumi, sama ada di daratan mahupun lautan serta memelihara alam dengan sebaiknya.

“Individu yang telah melepaskan haiwan berkenaan sebelum mengetahui kemudaratannya adalah dimaafkan kerana tiada pengetahuan tentang perkara tersebut,” menurut penjelasan yang dikongsikan di laman web rasmi pejabat itu.

Menurut kenyataan berkenaan, ikan bandaraya atau nama saintifiknya Hypostomus plecostomus ialah spesies ikan air tawar asing yang berasal dari benua Amerika Selatan dan dibawa masuk ke Malaysia sekitar tahun 1970-an untuk pasaran ikan hiasan.

Pada peringkat awal, ikan tersebut digunakan bagi membantu membersihkan akuarium kerana gemar memakan alga dan kotoran pada dinding serta dasar tangki.

Namun, apabila saiznya semakin besar, ia menjadi beban kepada pemilik kerana ruang akuarium terhad selain berpotensi menjadi pemangsa kepada ikan hiasan lain.

“Pemilik kemudian melepaskan ikan mereka ke dalam sungai dengan anggapan sungai ialah habitat yang sesuai baginya,” jelas kenyataan itu.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut menjelaskan bahawa berdasarkan kajian semasa, ikan bandaraya kini menjadi antara spesies yang mendominasi sungai-sungai tempatan.

Keadaan itu berlaku kerana spesies tersebut mampu hidup dalam air kotor, membiak dengan cepat serta mempunyai daya tahan tinggi kerana kulitnya keras dan sukar diganggu pemangsa.

Selain itu, ikan bandaraya juga dikategorikan sebagai spesies pemangsa kerana tabiat semula jadinya yang memakan larva dan telur ikan lain.

+ - reset