TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pastikan bekalan makanan tak putus, kerajaan tingkat stok beras hingga sembilan bulan

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 13 Mac – Kerajaan bersetuju meningkatkan stok simpanan beras negara sehingga tempoh sembilan bulan sebagai langkah memastikan keterjaminan bekalan makanan susulan konflik yang berterusan di Asia Barat.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah itu diputuskan Kabinet sebagai persediaan awal bagi memastikan bekalan makanan negara kekal stabil sekiranya konflik di rantau berkenaan berpanjangan.

"Kabinet bersetuju supaya stok beras negara ditambah sehingga tempoh sembilan bulan akan datang daripada sekarang.

"Ini sebagai langkah awal bagi memastikan bekalan makanan negara kekal terjamin," katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas Jemaah Menteri di sini hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Dalam perkembangan sama, Mohamad turut menyarankan penjawat awam yang memiliki kediaman di atas tanah seperti rumah teres supaya memulakan inisiatif menanam sayur-sayuran di kawasan rumah masing-masing.

Katanya, usaha itu boleh dilaksanakan dengan menanam tanaman yang mudah dituai seperti cili, terung dan kucai, sebagai langkah persediaan seperti yang pernah dilaksanakan menerusi Kempen Buku Hijau pada era Allahyarham Tun Abdul Razak.

"Maka, saya akan mengarahkan pegawai-pegawai yang rumah di atas tanah, bukan rumah flat dan rumah pangsa, sekurang-kurangnya memulakan tanaman yang hasilnya cepat seperti cili, terung dan kucai.

"Kita akan memulakan program itu seperti Kempen Buku Hijau di zaman Allahyarham Tun Abdul Razak, sebab kita tidak tahu bila krisis antara Israel, Amerika Syarikat dan Iran akan tamat," katanya.

Pada masa sama, beliau berharap konflik berkenaan dapat diselesaikan segera supaya tidak memberi kesan negatif kepada bekalan makanan negara.

"Buat masa ini, sambutlah hari raya (Aidilfitri) dengan biasa, insya-Allah makanan semuanya cukup dan terjamin bekalannya," katanya.

+ - reset