TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

70 jemaah Malaysia selamat dalam kebakaran hotel di Makkah

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 13 Mac – Kementerian Luar mengesahkan kira-kira 70 jemaah Malaysia yang menginap di sebuah hotel yang terbakar di Jalan Ajyad, Makkah pada pukul 5 petang semalam waktu tempatan berada dalam keadaan selamat dan sudah dikenal pasti.

Dalam satu kenyataan, Wisma Putra memaklumkan semua jemaah yang menginap di Hotel Mira Ajyad itu berada di bawah kelolaan agensi pelancongan umrah TH Travel, Zahafiz Travel dan Rayhar Travel.

“Ketiga-tiga agensi tersebut mengesahkan semua jemaah Malaysia di bawah pengurusan mereka berada dalam keadaan selamat dan telah dikenal pasti.

“Dalam pemeriksaan susulan yang dijalankan oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah kira-kira pukul 7.20 malam waktu tempatan, beberapa jemaah Malaysia juga dilihat berkumpul dengan selamat di sekitar kawasan hotel,” menurut kenyataan itu.

Menurut Wisma Putra, sebaik menerima maklumat mengenai insiden berkenaan, pihaknya melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah segera berkoordinasi dengan pihak berkuasa Arab Saudi serta agensi pelancongan umrah Malaysia bagi memastikan keselamatan semua jemaah.

Katanya, setakat ini punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa Arab Saudi.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh setakat ini, tiada petunjuk bahawa insiden tersebut berpunca daripada serangan dron atau sebarang unsur sabotaj.

“Atas faktor keselamatan, tetamu tidak dibenarkan kembali ke bilik masing-masing sementara siasatan dan pemeriksaan keselamatan dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Wisma Putra berkata, sekiranya terdapat kelewatan mendapatkan kebenaran untuk kembali ke hotel, pihak pengurusan hotel bersama agensi pelancongan akan mengatur penginapan sementara bagi tetamu yang terjejas.

Katanya, kementerian akan terus memantau situasi itu secara rapat melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah dan kekal berhubung dengan pihak berkuasa Arab Saudi serta agensi pelancongan Malaysia.

“Jemaah Malaysia yang berada di Makkah dinasihatkan supaya kekal tenang dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan serta agensi pelancongan masing-masing,” menurut kenyataan itu.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah di talian +966 126 727 740 atau +966 573 099 589, atau melalui e-mel di mwjeddah@kln.gov.my.

+ - reset