TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

WFH: KPM teliti pelaksanaan PdPR

By
|
Kongsi
image

 

KOTA BHARU 14 Mac – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneliti pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya kerajaan memutuskan pelaksanaan kerja dari rumah bagi penjawat awam.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, pihaknya akan menilai secara menyeluruh rasional pelaksanaan PdPR sebelum sebarang keputusan dibuat di peringkat sekolah.

"Kita akan teliti sekiranya cadangan kerja dari rumah ini melibatkan sekolah. Jika ada rasional untuk melaksanakan PdPR, kita akan menelitinya dengan cermat sebelum membuat keputusan.

"Perbincangan lanjut berhubung perkara itu akan diadakan minggu depan bersama Menteri (Fadhlina Sidek), Timbalan Menteri (Wong Kah Woh), Ketua Setiausaha (Datuk Dr Aminuddin Hassim) serta pengurusan tertinggi KPM (Kementeria Pendidikan Malaysia)," katanya pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jaulah Ramadan KPM Tahun 2026 Negeri Kelantan di Kolej Vokasional Pengkalan Chepa di sini.

Menurut Mohd Azam, KPM mempunyai pengalaman melaksanakan PdPR ketika penularan Covid-19 sebelum ini dan pengalaman tersebut boleh dijadikan panduan untuk menambah baik pelaksanaannya sekiranya kaedah itu perlu dilaksanakan semula.

Katanya, pendekatan yang diambil juga perlu memastikan matlamat kerajaan, khususnya dari segi penjimatan kos operasi, dapat dicapai tanpa menjejaskan kualiti pendidikan.

"Apa juga keputusan yang dibuat nanti perlu mengambil kira kepentingan terbaik murid dan keberkesanan sistem pendidikan negara.

"Sebagai penjawat awam, pihak kementerian akan melaksanakan segala dasar dan keputusan yang diputuskan kerajaan dengan sebaik mungkin," katanya.

Sebelum ini, Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan berkata cadangan pelaksanaan kerja dari rumah bagi sektor awam akan diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet pada Selasa depan.

Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Wan Abdul Aziz untuk meneliti cadangan tersebut bagi memastikan pelaksanaannya dapat diselaraskan.

+ - reset