TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MPAJ tunda 1,139 kenderaan terbiar sepanjang tahun lalu

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 15 Mac – Majlis Perbandaran Ampang Jaya menunda sebanyak 1,139 kenderaan terbiar sepanjang tahun lalu berdasarkan Garis Panduan Kenderaan Terbiar.

Menurut pihak berkuasa tempatan itu, sebanyak 281 kenderaan turut dilupuskan dalam tempoh sama menggunakan garis panduan berkenaan.

MPAJ berkata, antara kekangan utama dalam menangani isu kenderaan terbiar ialah terdapat pemilik yang enggan membatalkan hak milik kenderaan di Jabatan Pengangkutan Jalan walaupun proses tersebut tidak melibatkan sebarang kos.

“MPAJ mengalu-alukan pemilik kenderaan yang berhasrat menyerahkan kenderaan bagi tujuan dilupuskan secara sukarela selepas pembatalan hak milik dibuat.

“Tiada kos dikenakan kepada pemilik sepanjang proses penyerahan berkenaan dan MPAJ turut menyediakan perkhidmatan menunda kenderaan yang selesai pembatalan hak milik untuk dibawa ke depoh MPAJ,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pelupusan kenderaan terbiar dilaksanakan berasaskan Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Bilangan 2 Tahun 2020.

Bagi menangani masalah tersebut, MPAJ turut menyediakan Program Pusat Sehenti Kenderaan Terbiar MPAJ.

Orang awam yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Jabatan Penguatkuasaan MPAJ di talian 03-42857024.

MPAJ menyarankan pemilik membuat pembatalan hak milik terlebih dahulu di pejabat JPJ sebelum menyerahkan kenderaan secara sukarela kepada pihak berkuasa tempatan itu.

“Setelah pembatalan hak milik dibuat, pemilik boleh menyerahkan kenderaan secara sukarela kepada MPAJ untuk dilupuskan mengikut peraturan tanpa sebarang kos tambahan.

“Kaedah ini memudahkan proses pelupusan di peringkat MPAJ serta mengelakkan lambakan kenderaan terbiar yang boleh menimbulkan kacau ganggu kepada orang awam,” katanya.

Permohonan penyerahan kenderaan boleh dibuat melalui e-mel penguatkuasa@mpaj.gov.my atau hadir terus ke Menara MPAJ.

Antara syarat ditetapkan ialah pemohon mestilah pemilik sah, kenderaan bebas hutang, tidak disenarai hitam, bebas rekod jenayah serta telah membuat pembatalan hak milik terlebih dahulu.

Menurut MPAJ, sebahagian kenderaan yang berada dalam simpanannya masih terikat di bawah Akta Sewa Beli 1967.

“Sebahagian kenderaan dalam simpanan MPAJ masih terikat di bawah akta ini dan beberapa bank tidak memberikan kerjasama untuk membuat pembatalan hak milik.

“Terdapat juga kenderaan dalam simpanan depoh MPAJ yang masih berada dalam rekod senarai hitam jenayah Polis Diraja Malaysia dan pihak insurans,” katanya.

Menurut kenyataan itu, semua isu berkenaan menyebabkan MPAJ perlu melalui proses panjang termasuk pendakwaan untuk mendapatkan perintah pelucutan daripada mahkamah sebelum pelupusan dapat dilakukan.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Kajang memaklumkan pihaknya menerima 1,155 aduan berkaitan kenderaan terbiar.

Jabatan Korporat dan Pembangunan Masyarakat MPKj berkata, proses pelupusan yang rumit menyebabkan ramai pemilik tidak mengetahui kaedah sah untuk melupuskan kenderaan.

Menurutnya, isu dokumentasi serta kes pusaka turut menjadi punca apabila pemilik meninggal dunia dan waris gagal menguruskan proses pertukaran nama.

“Kerajaan perlu mencari langkah untuk memudahkan proses pelupusan kenderaan bagi orang awam.

“JPJ sudah memperkenalkan sistem pembatalan kenderaan secara dalam talian dengan pemilik hanya perlu menyerahkan kenderaan kepada pusat rawatan automotif berlesen yang diiktiraf,” katanya.

Tambahnya, penduduk setempat juga perlu memainkan peranan sebagai mata dan telinga pihak berkuasa tempatan dengan membuat aduan melalui saluran yang betul supaya tindakan dapat diambil lebih cepat.

+ - reset