TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan sedia hadapi kesan krisis Asia Barat

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 15 Mac — Kerajaan telah mengambil langkah fiskal yang kukuh dan proaktif bagi memastikan ekonomi negara kekal stabil sekiranya krisis di Asia Barat berterusan.

Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata orang ramai tidak seharusnya dikelirukan dengan dakwaan bahawa kerajaan tidak membuat persediaan sewajarnya atau menjadikan isu tersebut sebagai bahan politik.

Menurutnya, antara langkah yang diambil kerajaan termasuk usaha penjimatan serta mengekalkan subsidi bahan api bagi mengurangkan tekanan kos kepada rakyat.

“Walaupun harga minyak di seluruh dunia meningkat, bagi RON95 khususnya melalui inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95), harga kekal pada RM1.99.

“Ia melibatkan subsidi kerajaan dan jika tidak diberikan, harga minyak akan meningkat. Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Singgah Sahur bersama pasukan petugas barisan hadapan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di sini awal pagi Ahad.

Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu berkata setakat ini kerajaan telah mengadakan dua mesyuarat Jemaah Menteri bagi membincangkan persiapan menghadapi kesan krisis di Asia Barat.

Menurutnya, setiap kementerian juga telah diminta membuat persediaan awal bagi memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya krisis tersebut berpanjangan.

“Kalau dilihat dari sudut ekonomi, kedudukan negara masih kukuh kerana dalam dua hingga tiga tahun kebelakangan ini kita telah memperkukuh asas ekonomi,” katanya.

Tambahnya, pengalaman ketika harga minyak dunia melonjak pada 2022 membuktikan kerajaan berupaya mengekalkan subsidi tanpa membebankan rakyat.

Beliau berkata kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mengekalkan subsidi bahan api walaupun harga minyak dunia meningkat mendadak ketika ini bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara.

+ - reset