TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Empat lelaki disyaki curi kabel MRT ditahan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 15 Mac — Empat lelaki yang disyaki mencuri kabel Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya hingga menyebabkan gangguan perkhidmatan selama tiga hari ditahan dalam satu operasi baru-baru ini.

Kecurian itu dilaporkan berlaku berhampiran Stesen Sri Damansara Barat pada 3 Mac lalu sebelum satu laporan polis dibuat oleh pihak Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan berkata tangkapan itu hasil maklumat risikan serta intipan yang digerakkan secara bersama oleh Unit Polis Bantuan Prasarana dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Menurutnya, insiden berkenaan menyebabkan gangguan kepada operasi perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya selama tiga hari sekali gus menimbulkan kesulitan kepada ribuan pengguna pengangkutan awam kendalian Prasarana.

“Semua suspek berusia antara 30 hingga 45 tahun dibawa ke lokasi kejadian bagi pengecaman dan membantu siasatan berkaitan barang kes yang ditemui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas kejayaan operasi itu, Amir berkata kerjasama erat antara Unit Polis Bantuan Prasarana dan PDRM akan terus diperkukuhkan melalui usaha pemantauan, intipan serta perkongsian maklumat secara berterusan bagi memastikan kegiatan kecurian kabel dapat dibanteras sepenuhnya.

“Kami mengucapkan syabas dan penghargaan kepada pasukan PDRM dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor atas tindakan pantas serta profesional memberkas suspek dan membantu mempercepatkan proses siasatan.

“Prasarana pada masa sama akan terus memperkukuhkan langkah keselamatan di sepanjang jajaran MRT Laluan Putrajaya termasuk meningkatkan rondaan keselamatan, pemantauan serta kerjasama strategik dengan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan infrastruktur pengangkutan awam sentiasa terpelihara,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan yang boleh menjejaskan keselamatan kemudahan pengangkutan awam negara.

+ - reset