TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tidak puas hati adik ditahan, lelaki kepung dan belasah buruh binaan

By
|
Kongsi
image

MELAKA 15 Mac – Kejadian tular membabitkan sekumpulan penunggang motosikal bergaduh menggunakan topi keledar dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati seorang lelaki yang mendakwa adiknya ditahan polis selepas dituduh mencuri motosikal.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 4 pagi di tepi jalan berhampiran Masjid Ar-Rabbani, Tangga Batu.

Menurut beliau, seorang buruh binaan berusia 24 tahun cedera dalam kejadian tersebut dan mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

“Seorang lelaki menuduh mangsa yang cedera menjadi punca adiknya ditangkap polis berhubung kes kecurian motosikal.

“Suspek bersama beberapa rakannya kemudian dipercayai mengepung mangsa sebelum menyerangnya menggunakan topi keledar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek turut dipercayai memukul kepala mangsa menggunakan sebatang kayu sehingga menyebabkan kecederaan.

“Situasi menjadi tegang selepas mangsa turut dipukul menggunakan kayu yang mengakibatkan dia cedera. Mangsa menerima rawatan di Hospital Melaka dan telah dibenarkan pulang.

“Setakat ini masih belum ada tangkapan, namun polis telah mengenal pasti lima individu berusia lingkungan 20 hingga 30-an yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan itu,” katanya.

Menurut beliau, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, beberapa klip video tular di media sosial memaparkan lebih 20 penunggang motosikal terlibat dalam pergaduhan di tepi jalan dengan menggunakan topi keledar sebagai senjata.

Kejadian dipercayai berlaku di kawasan Tangga Batu.

Dalam satu rakaman berdurasi 1 minit 21 saat, beberapa lelaki turut dilihat rebah di atas jalan selepas dipukul berkali-kali menggunakan topi keledar oleh kumpulan terbabit.

+ - reset